KUALA LUMPUR - Murid Tahun Empat yang ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah, Iman Zhafran disahkan sebagai kanak-kanak yang normal dan mampu berkomunikasi dengan rakan sebaya, bukannya autisme sepertimana didakwa segelintir pengguna media sosial.
Bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah berkata, arwah hanya menerima rawatan intensif pada usia empat tahun iaitu mengenai perkembangan ‘speech delay’ dan pulih selepas beberapa bulan.
Menurutnya, tiada laporan daripada doktor yang mengatakan Iman Zhafran autisme dan memerlukan pemantauan rapi.
Jelas Muhammad Hafizuddin, Iman Zhafran menunjukkan perkembangan pembelajaran yang amat positif, bahkan lebih menyerlah berbanding rakannya dari segi menulis, mengaji, sukan dan sebagainya.
“Banyak yang saya dengar pasal anak saya sehinggakan netizen menuduhnya autisme dan patut diletakkan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sedangkan gurunya sendiri beritahu anak saya normal. Ada juga yang kata Iman kemurungan.
“Dia boleh bergaul dengan rakan-rakan dan memang normal. Iman seorang yang sangat ceria, penyayang dan pemaaf, semua perkara baharu dia nak cuba terokai.
“Saya, isteri dan anak-anak sehingga kini tak boleh tidur memikirkan apa status kes Iman. Saya bukannya jenis yang bermain media sosial, tetapi tuduhan sebegini amat mengganggu emosi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat peguam bela dan peguam cara Yazid Tishondra, Solaris Mont Kiara di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Iman Zhafran ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolahnya di Senawang, Negeri Sembilan sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa.
Muhammad Hafizzudin berkata, anaknya pernah memberitahu yang dirinya dibuli dan sempat membuat laporan kepada pihak sekolah.
Namun, katanya, Iman tidak membalas balik kerana enggan dilabel lemah oleh rakan-rakan, sebaliknya membiarkan sahaja buli itu berlaku.
“Setiap kali pulang dari sekolah, dia akan cerita pada kami apa yang terjadi dari A sampai Z. Kawan-kawannya pun kami kenal nama,” ujarnya.
Bapa kepada tiga anak itu memaklumkan, kali terakhir pihaknya menerima perkembangan kes tersebut pada 16 Oktober, itu pun daripada siaran akhbar bukannya pegawai penyiasat (IO) yang mengendalikannya.
“Sebelum itu juga, saya mengetahui tentang keadaan tubuh badan Iman daripada pakar patologi selepas post-mortem pada 2 Oktober lalu. Selebihnya tiada apa-apa maklum balas.
“Saya dah ada gambaran penuh mengenai kes ini, tetapi tak nak mendahului pihak berkuasa cuma saya minta sangat status kes ini dijelaskan segera sebab dah sebulan berlaku,” katanya lagi.