Isu WCE Kampung Jawa: Pemilik diberi notis akhir, tempoh tujuh hari untuk berpindah

Iklan
Borhan ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu pada Isnin.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menetapkan tempoh terakhir kepada 19 pemilik tanah di Kampung Jawa yang masih enggan mengosongkan kawasan pembinaan Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, mesyuarat yang diadakan pada Isnin mencapai keputusan untuk memberikan peluang terakhir kepada pemilik terbabit sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Iklan
Iklan

Katanya, proses pengambilan tanah telah disempurnakan secara sah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 dengan Borang K dikeluarkan pada tahun 2023, manakala 75 peratus daripada pampasan berjumlah RM9.85 juta sudah dibayar kepada pemilik terlibat.

"Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang akan mengeluarkan Notis 425 Kanun Tanah Negara (KTN) kepada pemilik tanah untuk mengosongkan tapak dalam tempoh tujuh hari selepas mesyuarat ini," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat itu pada Isnin.

Iklan

Borhan

Beliau berkata, sekiranya masih tiada tindakan atau kegagalan mengosongkan tapak selepas tempoh itu, kerajaan negeri melalui PDT Klang akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan perobohan bersepadu di bawah Seksyen 426A(i)(c) KTN (Akta 828).

Iklan

Menurut beliau, syarikat konsesi WCE Sdn Bhd (WCESB) akan dibenarkan memasuki kawasan berkenaan bermula 10 November ini bagi melaksanakan kerja pembersihan tapak sebelum pembinaan diteruskan.

Borhan berkata, kerajaan negeri turut akan membantu 19 keluarga terlibat mendapatkan penempatan sementara menerusi Skim Smart Sewa, sementara mereka mencari kediaman kekal selepas menerima baki pampasan.

"Kerajaan negeri memahami kebimbangan penduduk dan pemilik tanah, namun kepentingan awam perlu diutamakan.

"Projek WCE ini bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi setempat, tetapi turut memberi kemudahan perjalanan dan limpahan pembangunan kepada rakyat Selangor," ujar beliau.

Beliau menegaskan, pendekatan kerajaan negeri kekal berhemah dan berasaskan rundingan dengan memastikan hak pemilik tanah terpelihara tanpa menjejaskan kemajuan negeri.

"Kita berharap semua pihak termasuk pemilik tanah, agensi pelaksana dan pihak konsesi dapat memberikan kerjasama sepenuhnya agar isu ini dapat diselesaikan secara harmoni," katanya.

Laporan Sinar Harian pada 8 Oktober lalu.

Terdahulu, isu pembinaan WCE di Kampung Jawa, Klang berlarutan apabila 19 penduduk dilapor masih enggan berpindah walaupun sebahagian besar proses pengambilan tanah telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Difahamkan, semua penduduk terbabit merupakan antara 52 pemilik tanah di kawasan laluan projek itu dan kebanyakan mereka sudah menerima pampasan daripada pihak kerajaan negeri dan syarikat konsesi WCE.

Bagaimanapun, 19 pemilik yang menerima bayaran melalui peguam dilaporkan masih tidak berpindah kerana mendakwa pampasan yang ditetapkan belum mengambil kira nilai sebenar harta dan kesan sosial yang dialami.