PUTRAJAYA – Malaysia menuntut gencatan senjata serta-merta di Sudan susulan peningkatan keganasan yang semakin membimbangkan, terutama di bandar El Fasher dan wilayah Darfur yang kini berdepan krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden negara itu.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan tersebut bagi membolehkan laluan kemanusiaan dibuka agar bantuan dan bekalan dapat disalurkan kepada penduduk El Fasher, selain kawasan yang terjejas di wilayah Darfur.
“Segala tindakan keganasan melampau yang tidak berperikemanusiaan ini mesti dihentikan segera,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, Malaysia memerhati dengan penuh kebimbangan terhadap kekejaman berterusan yang dilakukan oleh pasukan separa tentera RSF di Sudan yang memperlihatkan skala kekejaman amat menjijikkan.
Beliau berkata, imej satelit yang menunjukkan darah membasahi bandar El Fasher menjadi lambang noda terhadap seluruh kemanusiaan dan tindakan sedemikian sama sekali tidak boleh diterima.
Katanya lagi, dunia tidak boleh membiarkan berulangnya semula tragedi genosid Darfur.
“Kita tidak boleh membiarkan babak paling gelap dalam sejarah manusia berulang kembali,” katanya.
Perang saudara di Sudan memasuki pusingan baharu keganasan melampau minggu ini selepas RSF menawan El Fasher di Darfur Barat setelah setahun setengah mengepung bandar itu.
Saksi dan laporan tempatan menggambarkan berlakunya keganasan seksual, pembunuhan beramai-ramai dan hukuman mati terhadap orang awam oleh militan tersebut ketika puluhan ribu penduduk melarikan diri dari bandar itu.
El Fasher sebelum ini dianggap sebagai kubu terakhir Sudanese Armed Forces (SAF) di Darfur, yang telah berperang dengan RSF sejak tiga tahun lalu dalam perang saudara berdarah itu.
Kedua-dua pihak turut dituduh melakukan jenayah perang.
Agensi bantuan antarabangsa menyuarakan kebimbangan apabila lebih 60,000 orang dilaporkan melarikan diri dari El Fasher, namun hanya sekitar 5,000 orang berjaya tiba di bandar terdekat, Tawila yang terletak kira-kira 30 batu melalui kawasan padang pasir.