MEX II: 18 kes tuntutan RM220.7 juta, AMLA RM388 juta dibicarakan bersama

Iklan
Mahkamah menetapkan 8 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 18 kes membabitkan pemberian dokumen palsu bagi tuntutan berjumlah RM220.7 juta serta pengubahan wang haram (AMLA) melebihi RM388 juta berkaitan projek Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) yang dihadapi Datuk Yap Wee Leong, telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin untuk dibicarakan bersama.

Ini menjadikan bekas pengarah syarikat Mex II Sdn Bhd itu, yang sebelum ini dituduh atas 17 kes menggunakan dokumen palsu membabitkan jumlah RM314 juta, kini berdepan keseluruhan 35 pertuduhan.

Iklan
Iklan

Wee Leong, 68, mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan semula di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mahkamah menetapkan 8 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Iklan

Pada 8 September lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 17 pertuduhan menggunakan sebagai tulen dokumen iaitu Progress Claim berjumlah RM314,486,100 bagi kerja-kerja 'Site Clearance, Temporary Works, Earthworks, Geotechnical Works, Drainage Works and Pavement Works (Subgrade)'.

Dokumen itu berkaitan projek 'Proposed Lebuhraya Putrajaya To KLIA (MEX II) Commencing From Putrajaya Interchange and Terminating At KLIA For Maju Holdings Sdn Bhd', yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut palsu.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat Maju Holdings Sdn Bhd, Jalan Sultan Ismail di sini antara Jun 2017 hingga April 2018.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 24 September lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Wee Leong turut didakwa atas sembilan pertuduhan memberi dokumen dengan jumlah tuntutan sebanyak RM220.7 juta, dengan mempercayai bahawa ia mengandungi butiran palsu bagi mengelirukan prinsipal, sedangkan kerja-kerja yang dinyatakan tidak pernah dilaksanakan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Seksyen 14, Shah Alam antara 9 November 2017 dan 26 Jun 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi sembilan lagi kes, beliau dituduh memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM388 juta menggunakan akaun dan cek daripada akaun syarikat pembinaan kepada akaun miliknya serta tiga syarikat lain di cawangan bank di Country Heights, Kajang antara 21 Jun 2017 hingga 3 Ogos 2018.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang 15 kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram, atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.