ALOR SETAR – Polis Kedah mengesahkan suspek yang disyaki menetak dan memenggal kepala abang iparnya dalam kejadian tragis di sawah padi Kampung Pida 3, Jerlun mempunyai sejarah sakit mental dan pernah menerima rawatan psikiatri.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah mendapatkan rawatan sejak tahun 2021 namun berhenti menghadiri janji temu hospital kira-kira lima bulan sebelum insiden berlaku.
“Suspek memang ada kad rawatan dan pernah dirawat untuk kemurungan ketika pandemik Covid-19. Namun, dia telah berhenti atau enggan meneruskan rawatan sejak beberapa bulan lalu.
“Hasil penilaian kami mendapati kes ini berkemungkinan melibatkan halusinasi.
"Suspek dipercayai mempunyai tanggapan negatif terhadap mangsa dan dalam kes seperti ini, tidak mustahil individu berkenaan percaya orang lain mahu mencederakannya walaupun ia tidak benar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Isnin.
Tambah beliau, suspek masih berada di bawah jagaan keluarga dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan pendakwaan diambil.
“Kita akan menunggu sehingga tempoh reman suspek tamat. Insya-Allah, jika tiada sebarang masalah, suspek akan didakwa dalam masa terdekat,” katanya.
Pada malam Jumaat lalu, media melaporkan mangsa dilaporkan maut selepas ditetak dengan parang ketika berlaku pergaduhan di kawasan sawah padi Kampung Pida 3.
Suspek telah direman selama enam hari bermula 1 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.