PUTRAJAYA – Malaysia menggesa supaya segala bentuk keganasan di Sudan dihentikan serta-merta susulan tragedi kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah El Fasher dan seluruh Darfur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa yang sedang berlaku di Sudan ketika ini merupakan satu bencana kemanusiaan yang amat membimbangkan dunia.
“Saya amat bimbang dengan tragedi yang sedang berlaku di El Fasher dan seluruh Darfur, Sudan. Apa yang sedang kita saksikan ialah satu bencana kemanusiaan (iaitu) pembunuhan beramai-ramai, kebuluran serta perpindahan besar-besaran yang menggoncang nurani kemanusiaan,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau pada Isnin.
Beliau turut menegaskan, laporan mengenai kekejaman yang mungkin dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan, malah genosid, tidak boleh diterima sama sekali.
Menurutnya, Malaysia menyeru agar keganasan dihentikan serta-merta dan keselamatan orang awam dilindungi sepenuhnya selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Kami berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas bagi mengelakkan penderitaan berterusan, memulihkan akses kemanusiaan serta menyokong proses yang berwibawa ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban,” ujarnya.
Keganasan di El Fasher, ibu negeri Darfur Utara, kini disifatkan sebagai antara tragedi kemanusiaan paling dahsyat di Sudan sejak perang saudara meletus pada 2023.
Pasukan Rapid Support Forces (RSF) dilaporkan menawan bandar itu selepas pertempuran sengit dengan tentera kerajaan Sudan, menyebabkan ribuan penduduk terkorban dan puluhan ribu lagi terpaksa melarikan diri.
Saksi melaporkan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak, di samping kemusnahan besar terhadap hospital, sekolah serta kem pelarian.
Laporan daripada Al Jazeera dan Human Rights Watch mendedahkan bahawa selepas penguasaan RSF, berlakunya siri kekejaman termasuk serangan ke atas rumah penduduk, penculikan serta rogol beramai-ramai.
Mangsa yang terselamat mendakwa kumpulan bersenjata menyasarkan etnik tertentu, khususnya masyarakat Zaghawa, yang dianggap menyokong tentera kerajaan.
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa tindakan tersebut boleh dikategorikan sebagai jenayah perang atau genosid.