KUALA LUMPUR – Mendakwa kenderaan rosak termasuk enggan menimbang serta melengah-lengahkan arahan pegawai penguat kuasa bagi mengelak tindakan antara helah digunakan segelintir pemandu kenderaan perdagangan dalam Operasi Perang Lebih Muatan dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) Kuala Lumpur baru-baru ini.
Malah tindakan tersebut turut sama dilakukan pemandu warga asing yang didapati cuba bertindak sedemikian ketika ditahan.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, tindakan itu bukan sahaja menyukarkan proses operasi, malah boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 234).
"Sepanjang operasi ini dijalankan, kami mendapati ada pemandu yang enggan memberi kerjasama dengan pelbagai alasan seperti kenderaan rosak dan enggan menimbang muatan.
"Malah ada yang cuba bertindak melengahkan arahan penguat kuasa, bagaimanapun kesemua tindakan itu berjaya ditangani dengan sebaiknya dengan kecekapan pegawai dan anggota yang menjalankan tugas," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, operasi yang dilaksanakan sejak 14 Oktober hingga 31 Disember kelak itu memberi tumpuan terhadap kawasan yang sering melibatkan aktiviti kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan termasuk sektor kuari, pelabuhan dan perindustrian berat.
"Setakat ini, sebanyak 14 kenderaan ditahan dan disita atas pelbagai kesalahan seperti membawa muatan berlebihan, pelanggaran syarat tahap perkhidmatan, tiada lesen memandu sah serta perlindungan insurans tamat tempoh.
"Daripada jumlah itu, enam pemandu merupakan warga asing dari Indonesia dan India manakala lapan lagi warga tempatan," katanya.
Menurutnya, sebanyak 150 kenderaan turut dikenakan kompaun di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Setakat ini sebanyak 5,967 kenderaan diperiksa dan 2,398 notis saman dikeluarkan ke atas 939 kenderaan yang melanggar undang-undang.
"JPJ Kuala Lumpur tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengabaikan keselamatan awam sehingga menyebabkan kerosakan jalan atau kemalangan," katanya.
Ujarnya, tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan pengguna dan integriti sistem pengangkutan negara.
"Orang ramai diingatkan agar menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang jalan raya melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau emel ke aduantrafik@jpj.gov.my dengan butiran lengkap bagi membantu penguatkuasaan berterusan," katanya.