Permohonan maaf tanda kematangan

Iklan
Dalam dunia komunikasi serba pantas, kejujuran dan empati menjadi tunjang hubungan harmoni antara kerajaan, media dan rakyat. - Gambar hiasan

PERMOHONAN maaf Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kepada pengamal media memperlihatkan sisi keterbukaan seorang pemimpin susulan kenyataan beliau pada satu program pencahayaan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini yang didakwa menyinggung perasaan beberapa pihak dalam kalangan wartawan.

Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan Kor Ming menjawab dengan nada sedikit keras pertanyaan seorang wakil media berhubung penggunaan bahasa Inggeris pada nama acara berkenaan.

Iklan
Iklan

Tindakan itu bagaimanapun menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).

Dalam ekosistem komunikasi hari ini, hubungan baik antara kerajaan dan media amat penting kerana wartawan bertanggungjawab menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat manakala pemimpin pula berperanan menjelaskan dasar dengan jelas serta berhemah.

Iklan

Bagaimanapun kejadian seperti itu boleh berlaku, namun cara menanganinya menunjukkan tahap kematangan politik dan keterbukaan seseorang pemimpin.

Permohonan maaf secara terbuka menunjukkan nilai rendah hati serta penghargaan terhadap peranan media dalam demokrasi.

Iklan

Dalam era digital, setiap ucapan dan reaksi mudah dirakam serta disebarkan, justeru kawalan emosi dan tutur kata amat penting bagi mengelakkan salah tafsir yang boleh menjejaskan imej kerajaan dan kepercayaan masyarakat.

Insiden berkenaan juga membuka peluang untuk memperkukuh kefahaman bersama antara pihak berkuasa dan media yang mana latihan komunikasi, kesedaran terhadap etika sidang media dan saling menghormati perlu diperkasa agar hubungan dua hala lebih harmoni.

Apa yang penting, semua pihak perlu melihat media bukan sebagai lawan tetapi sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat sahih dan membina kefahaman rakyat terhadap dasar kerajaan.

Masyarakat pula boleh mengambil pengajaran bahawa perbezaan pandangan wajar ditangani dengan tenang dan berhemah kerana dalam dunia yang serba pantas, empati dan kesabaran menjadi kunci kepada komunikasi berkesan.

Secara keseluruhannya, permohonan maaf Nga Kor Ming patut dilihat dari sudut positif sebagai isyarat kematangan politik dan ruang untuk memperkukuh hubungan kerajaan dengan media ke arah budaya komunikasi yang lebih terbuka dan saling menghormati.