KUALA LUMPUR - Jualan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia pada 2024 mencecah hampir 15,000 unit dan dijangka terus meningkat dengan jenama nasional seperti Proton dan Perodua kekal menguasai lebih 62 peratus pasaran.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, perkembangan itu membuktikan kemajuan teknologi dalam industri automotif negara yang semakin pesat dan berdaya saing.
Menurutnya, Malaysia sebagai pemain industri automotif ketiga terbesar di Asia turut menjadi destinasi pelaburan asing apabila syarikat gergasi seperti BYD akan membina kilang EV di Tanjung Malim, Perak.
“Pelaburan ini dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri berimpak tinggi selain memberi limpahan manfaat kepada vendor serta usahawan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Mara Automotive Ecosystem (Matec) 2025 di pekarangan Stadium Bukit Jalil pada Ahad.
Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman
Rubiah turut menyifatkan penyertaan GGR Motor Sdn Bhd dalam Matec 2025 sebagai bukti kejayaan usahawan Bumiputera dalam industri automotif berteknologi tinggi apabila motosikal elektrik (EV) yang diperkenalkan syarikat itu mencatat lebih 10,000 tempahan sejurus pelancaran.
Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan kemampuan usahawan tempatan di bawah bimbingan Mara untuk bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa, seiring dengan sasaran kementerian memperkukuh penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam sektor strategik.
“Mara akan terus memberi sokongan penuh kepada GGR Motor Sdn Bhd bagi memastikan syarikat itu mampu memenuhi permintaan tempatan dan menembusi pasaran luar negara dengan harga motosikal elektrik yang kompetitif.
“Ini adalah cabaran baharu untuk usahawan kita supaya bukan sekadar ‘jaguh kampung’, tetapi mampu menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya
Rubiah dalam pada itu berkata, Mara turut menyokong pembangunan usahawan automotif Bumiputera melalui pelbagai bentuk kolaborasi bersama pemain industri utama.
Menurutnya, kejayaan melahirkan lebih ramai usahawan kompeten dalam bidang automotif tidak dapat dicapai secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama strategik dengan pihak industri bagi mempercepat pertumbuhan dan memastikan kesinambungan pembangunan keusahawanan.
“Kolaborasi ini bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kapasiti usahawan, malah membuka ruang pembelajaran serta perkongsian teknologi yang lebih luas,” katanya.
Rubiah berkata, antara contoh kejayaan kolaborasi itu ialah Program Automotif MARA-Petronas (PUMP) yang kini mempunyai 56 outlet AutoExpert di seluruh negara, dengan nilai jualan mencecah RM112 juta serta mewujudkan 480 peluang pekerjaan.
Beliau turut mencadangkan supaya kerjasama strategik itu diperluas kepada syarikat lain seperti Mannol Malaysia bagi membantu usahawan baharu dan lepasan TVET memperoleh sokongan dalam pembangunan perniagaan serta pengurusan yang lebih bersistematik.
Rubiah menegaskan, inisiatif sedemikian membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh rantaian nilai automotif dan membina ekosistem keusahawanan Bumiputera yang mampan serta berdaya saing di peringkat global.