PASIR MAS – “Mereka (suspek) adalah sepupu kepada Wan Fatihah,” demikian kata seorang ahli keluarga kepada Allahyarham Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang maut ditembak dalam kejadian tragis di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand, pada Sabtu.
Menurut ahli keluarga mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 55, dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan itu merupakan abang dan adik kandung.
“Sehingga kini, kami belum mengetahui perkembangan terkini sama ada kedua-duanya sudah berjaya ditangkap polis atau belum,” katanya.
Sementara itu, isteri mangsa, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, yang kini sedang hamil anak sulung hasil perkahwinannya dengan arwah, menceritakan detik cemas apabila menyaksikan sendiri suaminya ditembak di depan mata.
“Suami ditembak 18 das depan mata saya,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra di sini pada Ahad.
Menceritakan semula kejadian kira-kira jam 6.40 petang waktu Thailand, Wan Fatihah berkata, ketika itu arwah suaminya sedang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mereka.
“Dua suspek datang dari arah belakang dan menembak suami menggunakan masing-masing dua pistol.
“Tembakan demi tembakan dilepaskan ke arah suami. Saya berlari ke arahnya dan sempat memeluk selepas dia rebah.
“Selepas itu, kedua-dua lelaki berkenaan masih melepaskan tembakan sehingga habis peluru sebelum mereka berjalan pergi. Saya menjerit meminta tolong orang sekeliling,” katanya.
Wan Fatihah memaklumkan, suaminya ditembak pada bahagian tubuh, leher dan beberapa bahagian lain, manakala jumlah 18 das tembakan disahkan selepas bedah siasat selesai dijalankan.
Arwah disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, jenazah Allahyarham Mohd Fuad Fahmie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra, pada jam 2.30 petang Ahad, dengan dihadiri ahli keluarga termasuk ibunya, Zaiton Abdul Rahman, 64.
Zaiton turut memaklumkan bahawa dia menerima berita kematian anaknya daripada menantu, Wan Fatihah, kira-kira jam 9 malam pada hari kejadian.