IPOH - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tampil memohon maaf secara terbuka kepada pengamal media susulan kenyataan beliau pada satu program pencahayaan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini yang didakwa menyinggung perasaan beberapa pihak dalam kalangan wartawan.
Beliau berkata, sebagai seorang yang menghormati kebebasan media dan kebebasan bersuara, teguran yang diterima akan dijadikan pengajaran supaya fokus utama dapat dikembalikan kepada usaha membina negara.
"Saya menerima dengan hati terbuka segala teguran. Sekiranya ada rakan-rakan media yang terasa atau terkilan dengan kata-kata saya, saya tarik balik dan mohon maaf.
"Saya mahu kita semua terus fokus kepada usaha membina semula tanah air tercinta ini,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Padang Madani Taman Boon Bak di sini pada Ahad.
Menurutnya, sepanjang hampir 30 tahun dalam dunia politik, beliau sentiasa menghormati pengamal media yang berperanan penting dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
"Saya tegaskan, mereka yang mengenali saya tahu bahawa saya amat menghormati media. Jadi, saya berharap isu ini tidak diperbesarkan lagi dan kita semua boleh terus ‘move on’ untuk memartabatkan negara," katanya.
Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan Kor Ming menjawab dengan nada sedikit keras pertanyaan seorang wakil media berhubung penggunaan bahasa Inggeris pada nama acara berkenaan.
Tindakan itu bagaimanapun menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).
Dalam perkembangan sama, Kor Ming turut mengumumkan beberapa peruntukan baharu untuk pembangunan di sekitar Ipoh termasuk RM9 juta bagi pembinaan Pasar Baharu Pasir Putih dan RM2 juta bagi projek pencahayaan semula bandar raya melalui inisiatif ‘I Lite U Ipoh’.
Katanya, kedua-dua projek itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Sentuhan Kasih KPKT bagi merancakkan sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Selain itu, taman ini (Taman Boon Bak) merupakan satu daripada 216 taman awam yang akan disiapkan di seluruh negara. Namun, saya berharap penduduk dapat menjaga kemudahan yang disediakan dan mengelak vandalisme.
"Jangan rosakkan harta awam, kerana setiap kerosakan akan menyebabkan kos tambahan kepada pihak berkuasa tempatan," katanya.