12 tahun tak laku, rumah paling berhantu di Britain akhirnya terjual

Iklan
Rumah yang dijuluki gelaran paling berhantu di Britain akhirnya terjual pada pasangan 'ghost busters' dari Australia. Foto kredit Manchester Evening News

LONDON – Kediaman yang digelar ‘rumah paling berhantu di Britain’ akhirnya menemui pemilik baharu selepas ia gagal dijual selama 12 tahun, lapor Manchester Evening News pada Jumaat lalu.

Pasangan asal Australia, Amy Waine, 38 dan Jarrad Cutting, 40, membeli rumah di Essex itu yang diberi nama ‘The Cage’ awal tahun ini dengan harga £230,000 (RM678,500).

Iklan
Iklan
'The Cage' bertukar pemilik selepas 12 tahun tidak laku. Foto kredit Manchester Evening News

Pemilik terdahulu, Vanessa Mitchell berusaha untuk menjual rumah itu selama 12 tahun selepas mendakwa kerap melihat hantu dan pernah ditolak sehingga terjatuh ketika hamil.

Rumah dengan dua bilik tidur yang dibina pada abad ke-16 itu mempunyai sejarah yang menyeramkan.

Iklan

Difahamkan, ia pernah digunakan sebagai penjara bagi wanita yang dituduh mengamalkan ilmu sihir sekitar 1500-an sementara menunggu perbicaraan atau hukuman mati.

Amy dan Jarrad yang merupakan penyiasat paranormal dan pakar pengusir hantu mendakwa, berlaku kejadian pelik sejak kerja-kerja pengubahsuaian rumah tersebut bermula.

Iklan

Pasangan itu berkata, mereka kerap mendengar bunyi aneh, malah lampu bilik tidur menyala sendiri pada jam 3 pagi (waktu tempatan) sebaik berpindah ke rumah berkenaan.

“Kami sebenarnya tidak pernah mencari atau berniat untuk memiliki rumah berhantu.

“Namun, ketika berbual dengan rakan tentang ‘The Cage’, kami diberitahu rumah itu sebenarnya sedang mencari pemilik baharu.

“Kami menyukai rumah ini dan kisah-kisah mengenainya. Beberapa bulan kemudian, kami pun beli,” kata Amy.