BANGKOK – Kisah unik dari Thailand ini mencuri perhatian netizen di seluruh dunia apabila seorang wanita berjaya menemui kucing kesayangannya yang hilang dengan bantuan kucing liar di kejiranannya semuanya bermula dengan telefon bimbit.
Menurut laporan, kucingnya, Lamut, dilaporkan hilang selepas wanita itu mencarinya sepanjang malam tanpa sebarang petunjuk.
Dalam usaha terakhir, dia mengambil langkah luar biasa iaitu menunjukkan gambar Lamut kepada kucing-kucing liar di kawasan perumahannya menggunakan telefon bimbit.
“Tolong...tolong cari dia dan suruh balik rumah,” ujar wanita itu kepada kucing-kucing liar sambil memegang telefon yang memaparkan wajah Lamut.
Keajaiban berlaku keesokan harinya apabila Lamut kembali pulang dengan selamat. Sebagai tanda terima kasih, wanita itu kemudiannya mula memberi makan kucing-kucing liar yang telah membantunya itu, menjadikan mereka sebahagian daripada misi mencari haiwan kesayangannya.
Rakaman video yang dikongsi di TikTok telah mendapat ratusan ribu tontonan dan pujian daripada warganet, yang memuji kreativiti dan ikatan unik antara manusia dan haiwan.
Kisah ini bukan sahaja menunjukkan kepintaran haiwan, malah juga bagaimana teknologi mudah alih boleh menjadi alat penyelamat bahkan untuk misi mencari kucing yang hilang.-Agensi