Perkasa tadbir urus berintegriti bendung rasuah – Yadim

Iklan
Latihan berterusan mengenai etika serta integriti perlu diperkasakan bagi membentuk sikap profesional dan bertanggungjawab. Gambar kecil: Zairudin

SHAH ALAM – Peningkatan sistem tadbir urus berintegriti dan berasaskan ketelusan perlu menjadi keutamaan dalam usaha membanteras gejala rasuah dalam perkhidmatan awam.

Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kuala Lumpur dan Putrajaya, Zairudin Hashim berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap urusan pentadbiran dan kewangan kerajaan berjalan secara telus dan beramanah.

Iklan
Iklan

"Pelaksanaan audit dalaman yang lebih menyeluruh serta penggunaan teknologi digital untuk menjejak rekod transaksi dapat menutup ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan pemalsuan dokumen.

“Setiap urusan perolehan dan kewangan wajar diaudit secara berkala dan diselia oleh individu yang beriman serta beretika. Dalam masa sama, budaya muraqabah atau rasa diawasi oleh ALLAH SWT perlu diterapkan agar pegawai awam lebih berhati-hati dalam setiap keputusan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Zairudin menegaskan, sistem tadbir urus berintegriti perlu berasaskan prinsip amanah, kejujuran dan ketelusan seperti yang dituntut dalam Islam.

Beliau berkata, pendekatan bersepadu antara penguatkuasaan, pendidikan dan pencegahan juga amat penting bagi membina sistem pentadbiran yang bebas daripada rasuah dan penyelewengan.

Iklan

“Latihan berterusan mengenai etika serta integriti perlu diperkasakan bagi membentuk sikap profesional dan bertanggungjawab dalam kalangan penjawat awam,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa punca utama penjawat awam sanggup terlibat dalam rasuah dan pemalsuan dokumen walaupun risiko hukuman tinggi berpunca daripada krisis integriti dan lunturnya nilai moral.

Katanya, sifat tamak, tekanan kewangan, pengaruh persekitaran kerja yang negatif serta kurangnya penghayatan terhadap nilai agama menjadi antara faktor penyumbang.

“Apabila hati tidak dipandu oleh takwa, nafsu dan cinta kepada harta dunia akan mengatasi nilai amanah serta tanggungjawab. Islam menegaskan bahawa rasuah ialah dosa besar yang membawa kemurkaan ALLAH dan azab di akhirat,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kelemahan dalam sistem semakan atau pengawasan dalaman membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, sekali gus menjejaskan budaya ketelusan dan akauntabiliti.

“Dalam Islam, konsep pengawasan (hisbah) amat dititikberatkan bagi memastikan keadilan dan amanah sentiasa terpelihara,” katanya.