Belanjawan 2026: Rakyat sambut usaha perkukuh perpaduan, warisan dan pendidikan awal

Iklan
Tindakan itu membuktikan Kerajaan Madani memberikan fokus yang serius untuk mengeratkan integrasi antara kaum di negara ini di semua peringkat lapisan masyarakat. Gambar kecil: Dari kiri Asyraf Sallehudin, Yoshan Ganesh, Muhammad Ameer dan Roger Hugo.


KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan menambah peruntukan kepada Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam Belanjawan 2026 bagi meneruskan agenda perpaduan nasional disambut baik pelbagai pihak.

Tindakan itu membuktikan Kerajaan Madani memberikan fokus yang serius untuk mengeratkan integrasi antara kaum di negara ini di semua peringkat lapisan masyarakat

Iklan
Iklan

Ahli Sidang Belia Wilayah Persekutuan, Yoshan Ganesh Mitra berkata, peruntukan RM767.99 juta yang diterima KPN tahun hadapan, meningkat 7.96 peratus berbanding tahun 2025 merupakan agenda penting dalam memperkukuh kesejahteraan sosial rakyat.

Beliau berkata, ia seterusnya bagi memastikan perpaduan terus menjadi asas kepada kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Iklan

“Saya melihat di bawah kepimpinan Kerajaan Madani, KPN diberikan peranan penting dalam menjayakan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu padu dalam kepelbagaian, sejahtera dalam perbezaan, serta progresif dalam pendekatan sosial dan ekonomi.

“Setiap program yang dirancang di bawah Belanjawan 2026 bukan sekadar melibatkan pembangunan fizikal, tetapi juga bertujuan mengukuhkan hubungan sosial dan membina semangat saling memahami di kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya,” katanya.

Iklan

Penolong Setiausaha Pertubuhan Intelek Wawasan Malaysia (INTELEK), Muhammad Ameer Hafidz Abdul Salim, peningkatan peruntukan bagi memperkukuh Tabika Perpaduan termasuk dana Bantuan Makanan Tambahan, kerajaan sebenarnya sedang melabur dalam pembentukan identiti nasional yang harmoni sejak usia prasekolah, sejajar dengan hasrat untuk melahirkan generasi yang memahami kepelbagaian sebagai kekuatan, bukan perbezaan.

Katanya, pada tahun 2025, kerajaan memperuntukkan sekitar RM10 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan Tabika Perpaduan di seluruh negara dan usaha tersebut diteruskan dan diperluas dalam Belanjawan 2026, apabila peruntukan ditingkatkan kepada RM20 juta.

“Saya melihat langkah ini sejajar dengan konsep Malaysia Madani, khususnya teras 'Perpaduan' dan 'Ihsan' yang menekankan pembinaan masyarakat inklusif serta berakhlak mulia.

“Inisiatif ini mencerminkan pelaksanaan prinsip 'Kesejahteraan' dan 'Daya Cipta' dalam Malaysia Madani, apabila pendidikan awal digunakan sebagai medan inovasi sosial untuk membina perpaduan berasaskan pengalaman hidup bersama,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Sosial Pertubuhan Peduli Masyarakat (PERMAS), Roger Hugo Amandus, berkata, pendekatan Belanjawan 2026 adalah seimbang antara pembangunan sosial dan fizikal, serta mampu merapatkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar khususnya dalam soal semangat kebersamaan dan muhibah.

“Orang di bandar sibuk dengan kerja sampai lupa erti kejiranan. Bila ada program komuniti macam gotong-royong, kebuniti atau sambutan perayaan anjuran Rukun Tetangga, kita dapat semula semangat kekitaan.

“Saya berharap lebih banyak aktiviti seumpama itu diperluas ke kawasan pangsapuri dan perumahan baharu agar masyarakat bandar tidak terpisah dalam gaya hidup moden,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk Lembah Pantai, Asyraf Sallehudin, 32, berkata, langkah membangunkan Muzium Tekstil dan Muzium Alam Semula bukan sekadar memelihara sejarah, tetapi juga mendidik rakyat tentang identiti bangsa dan kelestarian alam.

Beliau turut memuji pendekatan geran padanan RM5 juta kerana membuka ruang kepada sektor swasta memainkan peranan dalam memulihara khazanah negara seperti dilakukan di negara-negara Eropah sejak dahulu serta beliau turut gesa GLC juga harus memainkan peranan penting dalam hal ini.

“Dengan tumpuan terhadap perpaduan masyarakat, pemeliharaan warisan dan pembangunan generasi muda, Belanjawan 2026 KPN dilihat sebagai satu pelan menyeluruh yang bukan sahaja menyemarakkan semangat Malaysia MADANI, tetapi juga mengukuhkan asas pembinaan negara bangsa yang bersatu, makmur dan berdaya tahan," katanya.

SENARAI PERUNTUKAN

1. Pembangunan Warisan dan Muzium

• Dana awal RM5 juta disediakan melalui geran padanan untuk sektor korporat, dermawan dan pakar warisan dalam usaha meremajakan Muzium Negara.

• Individu dan syarikat korporat yang menyumbang kepada Akaun Amanah Jabatan Muzium Malaysia layak menikmati potongan cukai bersamaan jumlah sumbangan.

• Projek pembangunan Repositori di Muzium Lukut, Port Dickson.

• Pembangunan Muzium Alam Semula Jadi akan diteruskan sebagai pusat rujukan dan warisan alam negara.

2. Pemerkasaan Komuniti dan Rukun Tetangga Madani.

• Sebanyak RM55 juta diperuntukkan untuk memperkukuh program perpaduan di seluruh negara.

• Tiga Pusat Aktiviti Perpaduan baharu akan dibina dengan kos RM46 juta di Bukit Besar (Terengganu), Bandar Seri Iskandar (Perak), dan Miri (Sarawak).

• Tambahan RM55 juta lagi disalurkan bagi memperkasa Rukun Tetangga Madani sebagai jambatan sosial yang menggerakkan aktiviti kejiranan.

• Pembinaan tiga Pusat Rukun Tetangga baharu di Kampung Laksamana (Gombak), Pengkalan Gate (Kinta) dan Penggiran Delima (Hulu Langat).

3. Pendidikan Awal dan Pembangunan Sosial

• RM30 juta disalurkan untuk Bantuan Makanan Tambahan Tabika Perpaduan, memastikan kanak-kanak menerima nutrisi mencukupi.

• RM20 juta diperuntukkan untuk menambah baik Taska Perpaduan di seluruh negara.

• RM56 juta diperuntukkan untuk pengurusan Perpustakaan Desa

4. Kajian dan Penyelidikan

• Pelaksanaan Kajian Indeks Pengukuran Tahap Patriotisme dalam Kalangan Penjawat Awam.