Tindakan Kor Ming jejas hubungan komunikasi media, kerajaan - Johan Jaafar

Iklan
Johan

SHAH ALAM - Tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang menegur seorang wartawan sewaktu pelancaran projek pencahayaan bandar ‘I Lite U’ pada Rabu lalu berpotensi menjejaskan lagi hubungan komunikasi antara kerajaan dan media.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar berkata, perbuatan tersebut jelas bertentangan dengan prinsip keterbukaan dan toleransi terhadap media seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan
Iklan

“Menteri tidak boleh dilihat menggunakan kuasa dan kedudukan untuk membuli wartawan, apatah lagi mengintimidasi mereka.

“Wartawan sepatutnya dihargai dan dihormati profesion mereka, bukan dipersoal atau diugut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan berang dengan soalan yang diajukan wartawan Utusan Malaysia ketika mengumumkan projek berkenaan di ibu negara, apabila wartawan itu bertanya mengapa tema projek tersebut menggunakan bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.

Johan berkata, Ahli Parlimen Teluk Intan itu perlu memohon maaf kepada wartawan terlibat dan komuniti media secara keseluruhan susulan tindakannya yang dianggap tidak wajar.

Iklan

“Saya mendesak beliau memohon maaf kepada wartawan berkenaan dan komuniti wartawan seluruhnya.

“Wartawan berhak menanyakan sebarang soalan dan sebagai menteri, Kor Ming sepatutnya memberikan jawapan yang baik, munasabah serta tidak angkuh.

“Beliau juga tidak seharusnya mengugut untuk menghubungi ketua pengarang wartawan berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Johan turut menegur penggunaan ungkapan bahasa Inggeris bagi nama projek ‘I Lite U’ yang dianggap tidak sesuai digunakan dalam kempen peringkat nasional.

“Sebagai mantan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), saya tidak dapat menerima kewajaran penggunaan bahasa Inggeris untuk sebarang kempen nasional.

“Sekadar menceriakan wajah kota sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 tidak memerlukan ungkapan ‘I Lite U’,” menurut beliau.