KUALA SELANGOR – Isu pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang membabitkan 19 penduduk di Kampung Jawa, Klang dijangka menemui titik penyelesaian tidak lama lagi apabila mesyuarat akhir berhubung perkara itu akan diadakan pada Isnin ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sudah meneliti semua perkembangan termasuk isu teknikal dan salah faham yang timbul sebelum ini dan yakin keputusan muktamad dapat dicapai selepas mesyuarat berkenaan.
"Pada 3 November ini akan ada mesyuarat akhir dan selepas itu kita akan dapat kata putus," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Makanan Warisan Negeri Selangor di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini, pada Sabtu.
Amirudin berkata, beberapa kesilapan dan kekeliruan teknikal telah dikenal pasti dan sedang diselesaikan oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, yang mengetuai urusan tersebut.
"Ada sedikit salah faham dari pihak penduduk yang telah kita jelaskan dan uruskan dengan baik.
"Kita juga sudah bermesyuarat dengan pihak kementerian serta memaklumkan perkara ini kepada pihak WCE,” katanya.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri komited menyelesaikan baki jarak 150 meter terakhir yang masih tertangguh bagi memastikan projek WCE dapat dilengkapkan sepenuhnya tanpa menjejaskan kepentingan penduduk.
"Kita harap akan ada penyelesaian menyeluruh yang memuaskan semua pihak," tambah beliau.
Isu pembinaan WCE di Kampung Jawa, Klang berlarutan apabila 19 penduduk dilaporkan masih enggan berpindah walaupun sebahagian besar proses pengambilan tanah telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.
Difahamkan, semua penduduk terbabit merupakan antara 52 pemilik tanah di kawasan laluan projek itu dan kebanyakan mereka sudah menerima pampasan daripada pihak kerajaan negeri dan syarikat konsesi WCE.
Bagaimanapun, 19 pemilik yang menerima bayaran melalui peguam dilaporkan masih tidak berpindah kerana mendakwa pampasan yang ditetapkan belum mengambil kira nilai sebenar harta dan kesan sosial yang dialami.