KUALA LUMPUR – Sebuah restoran mewah di tingkat 57 Menara 3 KLCC di sini musnah kira-kira 30 peratus selepas terbakar pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafizan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.41 pagi.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur turut menghantar jentera dari BBP Tun Razak dan BBP Hang Tuah dengan kekuatan 35 pegawai serta anggota ke lokasi kejadian.
“Kita melaksanakan operasi secara ofensif dengan menggunakan lif bomba bagi naik ke lokasi dan sistem pemadaman melalui wet riser untuk memadam kebakaran,” katanya pada Sabtu.
Mohd Hafizan berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.04 pagi sebelum operasi pemadaman selesai sepenuhnya pada jam 8.45 pagi.
"Tiada kemalangan jiwa, mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.
Beliau berkata, antara cabaran utama yang dihadapi anggota bomba ialah lokasi kebakaran yang berada di aras tinggi, namun sistem keselamatan bangunan tersebut banyak membantu kelancaran operasi.
“Restoran berkenaan akan ditutup sementara sehingga siasatan selesai dijalankan oleh Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur.
“Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.