Rakyat Sudan menderita

Iklan
Penduduk Sudan menerima makanan percuma di Al-Fasher, Darfur yang dikepung pasukan RSF lebih setahun. – AFP

KHARTOUM - Rakyat Sudan terus menderita akibat perang saudara yang kini berlarutan lebih setahun tanpa tanda akan berakhir.

Pertempuran sengit antara Tentera Sudan (SAF) yang diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pimpinan Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo atau Hemedti telah memusnahkan bandar-bandar utama termasuk Khartoum dan Darfur.

Iklan
Iklan

Penduduk awam menjadi mangsa utama apabila ribuan rumah dibakar dan ratusan keluarga digantung serta dibunuh tanpa belas kasihan.

Penduduk Sudan yang melarikan diri dari El-Fasher tiba di Tawila selepas bandar itu jatuh ke tangan RSF. – AFP

Iklan

Kumpulan hak asasi manusia melaporkan banyak kes pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan dan serangan kejam terhadap wanita serta kanak-kanak.

Sebahagian besar mangsa terpaksa melarikan diri ke Chad, Mesir dan Sudan Selatan untuk mencari perlindungan.

Iklan

Lebih 12 juta rakyat kini kehilangan tempat tinggal, manakala puluhan ribu dilaporkan terbunuh sejak konflik tercetus pada April 2023.

Banyak kawasan kediaman dan kem pelarian menjadi sasaran serangan udara serta tembakan artileri tanpa mengira nyawa orang awam.

Penduduk yang masih bertahan di Khartoum menghadapi kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bekalan air bersih.

Klinik dan hospital pula lumpuh akibat kekurangan tenaga kerja serta peralatan asas perubatan.

Ramai pesakit termasuk kanak-kanak terpaksa dirawat di bawah runtuhan bangunan atau dalam khemah sementara.

Sukarelawan mengangkat guni sorgum semasa agihan bantuan di Maban, Sudan Selatan. Foto AFP

Kumpulan bantuan antarabangsa mendakwa tentera dan RSF sering menutup laluan kemanusiaan ke kawasan terjejas.

Situasi ini menyebabkan ramai mangsa terperangkap tanpa sebarang bantuan luar selama berbulan-bulan.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) berdepan kesukaran menyalurkan bantuan disebabkan ancaman keselamatan dan sekatan di kawasan konflik.

Pertempuran berterusan antara dua jeneral berpengaruh itu bukan sahaja memburukkan keadaan negara, malah mengancam kestabilan seluruh rantau Afrika Timur.

Pemerhati antarabangsa bimbang jika perang ini tidak dikawal, Sudan berisiko menjadi negara gagal sepenuhnya. - Agensi

 

 

Kronologi konflik Sudan

April 2023 – Perang saudara meletus

Mei–Jun 2023 – Khartoum lumpuh

Disember 2023 – PBB klasifikasi krisis kemanusiaan terburuk di Afrika

Pertengahan 2024 – Rundingan damai gagal

Januari -Oktober 2025 – Penderitaan rakyat berterusan