Dadah bernilai RM3.4 juta dirampas, tujuh individu ditahan

Iklan
Antara dadah yang dirampas daripada sindiket dalam serbuan yang dilakukan pada Khamis dan Jumaat.

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket dadah jenis serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM3.4 juta dengan penahanan tujuh individu termasuk dua wanita warga asing.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ts Azizee Ismail berkata, kesemua suspek berusia antara 31 hingga 54 tahun itu ditangkap dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar George Town dan Seberang Jaya pada Khamis dan Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing di tempat parkir kenderaan di kawasan George Town selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Dengan dipandu arah oleh tangkapan membawa kepada rampasan 6278.9 gram dadah jenis MDMA dan 17.05 gram dadah jenis ketamin di dalam sebuah rumah.

Iklan

"Hasil siasatan lanjut dan maklumat diperoleh membawa kepada serbuan susulan di Seberang Jaya dengan menangkap empat lelaki dan seorang lagi wanita warga asing di sebuah rumah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azizee berkata, dalam serbuan kedua itu pihaknya merampas tiga balang plastik berpenutup yang berisi dadah jenis MDMA seberat 2,660 gram dan 438 peket plastik lutsinar berisi serbuk dadah sama seberat 14,530 gram dalam rumah terbabit.

Iklan

Ujarnya, siasatan dilakukan mendapati sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif dengan aktiviti mengedar dadah sejak pertengahan tahun ini dengan menyasarkan pusat hiburan untuk menjual dadah terbabit.

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kesemua suspek mendapati seorang positif methaphetamine dan tiga lagi positif amphetamine.

"Semakan dibuat mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah," tambahnya.

Sementara itu, Azizee berkata, tindakan pelucutan harta turut dilakukan dengan merampas sebuah kereta jenis Nissan Teana dan Proton Preve yang bernilai RM40,000.

Jelasnya, kesemua yang ditangkap kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.