ALOR SETAR – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) digesa agar menyemak semula kadar baharu cukai taksiran atau cukai pintu yang naik sehingga melebihi 200 peratus dan dijadualkan bermula tahun 2026 susulan kebimbangan pelbagai pihak terhadap kesan langsung kepada rakyat serta peniaga tempatan.
Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, langkah drastik itu dilihat membebankan masyarakat khususnya dalam suasana ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya.
“Kenaikan mendadak ini bukan sahaja menekan pemilik premis dan peniaga kecil, malah boleh menjejaskan daya saing ekonomi bandar raya Alor Setar secara keseluruhan.
“Setiap dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat mesti dilaksanakan secara telus, berperingkat dan mengambil kira kemampuan semasa masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, cadangan pelbagai pihak termasuk pandangan komuniti setempat perlu dipertimbangankan oleh MBAS.
“Kami menyokong penuh gesaan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah dan badan bukan kerajaan (NGO) penduduk yang meminta agar kadar baharu cukai taksiran ini dikaji semula. MBAS perlu segera mengadakan sesi libat urus terbuka bersama wakil komuniti dan pertubuhan perniagaan,” ujarnya.
Tegasnya, MBAS sebagai pihak berkuasa tempatan mempunyai tanggungjawab untuk menyelaraskan kutipan hasil dengan keperluan rakyat, bukan sekadar memenuhi sasaran kutipan.
“Segala keputusan mesti berpaksikan prinsip keadilan, ketelusan dan kesejahteraan masyarakat. Kami akan terus memperjuangkan isu ini secara berhemah namun tegas agar suara rakyat tidak diketepikan,” tambahnya.
Terdahulu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Alor Setar menyuarakan bantahan terhadap kenaikan tersebut yang disifatkan sebagai tidak munasabah dan berpotensi menjejaskan kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bandar raya ini.
Menurut AMK, kadar kenaikan cukai yang tinggi dalam satu masa adalah keterlaluan meskipun semakan semula selepas 33 tahun dianggap wajar.
Perkara sama turut disuarakan Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (Gapema) Kedah, Baharudin Mohamed Ali yang berkata bahawa ahli-ahlinya yang memiliki premis perniagaan turut tertekan dengan lonjakan cukai tersebut dan mencadangkan agar pelarasan dibuat secara berperingkat.
“Kita faham keperluan MBAS untuk menyemak semula kadar selepas sekian lama, tetapi pelaksanaan mesti mengambil kira kemampuan rakyat. Bantahan rasmi telah diminta dikemukakan melalui saluran aduan yang disediakan MBAS,” ujarnya.