Kerajaan pertimbang wujudkan lesen, pengesahan identiti untuk permainan dalam talian

Iklan
Fahmi bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi, pada Jumaat. Foto Bernama

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mempertimbangkan keperluan mewujudkan pelesenan atau pengesahan identiti bagi memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada kemudaratan dalam talian, khususnya melalui permainan dan aplikasi digital.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu sedang diteliti susulan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak ketika menggunakan pelbagai platform permainan dan aplikasi dalam talian yang semakin mudah diakses.

Iklan
Iklan

“Pada waktu ini, permainan dalam talian seperti Roblox dan lain-lain belum lagi dikenakan sebarang rejim pelesenan.

"Namun kerajaan sedang menilai langkah terbaik termasuk memastikan pengesahan identiti bagi mengelakkan kanak-kanak terdedah kepada kemudaratan dalam talian,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, ketika ini pelesenan hanya terpakai kepada platform media sosial dan sistem pemesejan internet, manakala aplikasi permainan belum termasuk dalam kategori tersebut.

“Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti keseluruhan ekosistem ini supaya dasar yang diperkenalkan kelak bersifat menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada satu permainan,” katanya.

Iklan

Beliau menjelaskan, kebimbangan itu timbul selepas beberapa insiden melibatkan kanak-kanak, termasuk kes seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang mencederakan adiknya selepas didakwa terpengaruh dengan permainan Roblox.

“Polis sedang menjalankan siasatan dan siasatan awal menunjukkan permainan Roblox ada kaitan. Namun kita serahkan kepada pihak polis untuk menentukan hasil siasatan,” jelasnya.

Fahmi berkata, beliau sendiri telah mengadakan pertemuan dengan dua wakil Roblox yang berpangkalan di Korea Selatan dan Australia untuk mendapatkan penjelasan mengenai langkah keselamatan dan had penggunaan bagi pemain bawah umur.

“Pihak Roblox memaklumkan bahawa mereka menghadkan beberapa fungsi kepada pemain berusia 13 tahun seperti interaksi dan komunikasi dengan pengguna lain.

Namun, masih ada aplikasi lain yang terlalu mudah digunakan oleh kanak-kanak,” katanya.

Beliau menegaskan, ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan anak-anak di dunia digital.

“Peranti bukan pengasuh, peranti bukan pengganti ibu bapa. Saya telah arahkan MCMC supaya dalam kempen Internet Selamat akan datang, peranan ibu bapa perlu ditekankan dengan lebih jelas,” tambah Fahmi.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi turut menyatakan bahawa pihak Roblox kini sedang melaksanakan proses pengesahan umur menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan kerajaan melalui MCMC akan mengadakan perbincangan teknikal lanjut bagi memahami mekanisme tersebut.

Selain itu, kerajaan juga sedang mempertimbangkan penggunaan sistem pengesahan identiti digital atau e-KYC menggunakan dokumen seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID bagi memastikan umur serta identiti pengguna disahkan dengan tepat.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi mengelakkan penyalahgunaan aplikasi digital termasuk kes yang dilaporkan baru-baru ini melibatkan aplikasi OMI, di mana seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menjadi mangsa serangan seksual selepas berkenalan dengan individu dewasa melalui platform tersebut.

“Saya telah minta MCMC memanggil pihak syarikat aplikasi terbabit untuk menjelaskan mekanisme keselamatan mereka.

"Selepas ini, kita akan lihat keperluan memperluaskan pengesahan umur dan identiti untuk aplikasi seumpama itu,” katanya.