PETALING JAYA – KDEB Waste Management (KDEBWM) terus memperkukuh pengurusan sisa pepejal di Selangor apabila melaksanakan fasa kedua pelan operasinya yang merangkumi perluasan kawasan perkhidmatan serta peningkatan aset dan kecekapan tenaga kerja lapangan.
Pengurusan Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata, fasa kedua yang bermula tahun ini memberi tumpuan kepada penambahan zon kutipan dan jentera baharu termasuk lebih 600 unit lori kompaktor bagi menampung peningkatan jumlah sisa harian di seluruh negeri.
Menurut beliau, sejak pelaksanaan fasa pertama pada 2018, KDEBWM berjaya memperluas operasi ke lebih banyak pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Tahun ini kita sudah mula di Kuala Langat, Kajang, Petaling Jaya, diikuti Sepang, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.
“Mulai 1 Januari depan, KDEBWM akan memulakan pula di Kuala Selangor dan Subang Jaya menjadikan 11 daripada 12 PBT di Selangor berada di bawah pengurusan kami," katanya ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Lori Pengurusan Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam MBPJ di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, fasa kedua turut menekankan peningkatan kecekapan operasi di lapangan melalui penggunaan aplikasi iClear, yang membolehkan laporan kerja harian dihantar secara masa nyata.
"Dengan iClear, kita dapat pantau kerja kutipan sampah mengikut jadual dan memastikan penyelia di setiap zon boleh membuat pemantauan lebih menyeluruh serta cepat mengambil tindakan jika ada aduan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menandatangani kontrak baharu perkhidmatan kutipan sampah domestik dan pembersihan awam bersama KDEBWM bernilai RM67.9 juta setahun.
Ujar beliau, kontrak perjanjian itu bagi tempoh tujuh tahun bermula 1 November ini hingga 31 Oktober 2032.
Jelas beliau, kontrak baharu itu menggantikan perjanjian asal yang bermula pada 1 Ogos 2018 dan berakhir pada 31 Julai 2025 dengan nilai RM55.27 juta setahun, melibatkan kenaikan sebanyak 13.51 peratus.
"Dengan kenaikan ini, kita berharap tahap kebersihan dan kecekapan kutipan sampah dapat dipertingkatkan seiring dengan kenaikan cukai pintu yang dibayar oleh penduduk.
"Dalam sesi libat urus, ramai penduduk menyatakan kesediaan membayar lebih asalkan perkhidmatan pembersihan lebih baik," tambah beliau.
Menurutnya, bagi pelaksanaan kontrak baharu ini, KDEBWM akan membahagikan kawasan operasi kepada 57 zon kutipan sampah domestik dan 85 zon pembersihan awam, menggunakan 150 lori operasi termasuk 56 lori kompaktor, enam lori mini dan 88 lori jenis Roll-On Roll-Off (RoRo).
"Secara purata MBPJ menguruskan sekitar 260,000 tan sampah setahun dan dengan kemudahan baharu serta penambahan lori, kami yakin kebersihan bandar dapat terus dipertingkatkan," katanya.
CAPTION
Mohamad Zahri (enam dari kiri) dan Ahmad Rizal (tujuh dari kanan) memotong riben sebagai simbolik Majlis Penyerahan Lori Pengurusan Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam MBPJ di sini pada Jumaat.