BANK Rakyat melancarkan Pembiayaan Mortgage Suite-i, produk pembiayaan perumahan terbaharu yang menawarkan penyelesaian kewangan holistik dan fleksibel bagi membantu masyarakat memiliki kediaman impian dengan lebih mudah dan berpatutan.
Dalam kenyataan pada Jumaat, Bank Rakyat berkata, pembiayaan Mortgage Suite-i menawarkan dua kemudahan utama iaitu pembiayaan baharu dan pembiayaan semula (Pembiayaan Semula Mortgage Suite-i) bagi memenuhi keperluan pelanggan yang ingin memiliki rumah pertama, menaik taraf kediaman sedia ada atau mengoptimumkan pengurusan kewangan.
Pelancarannya turut menandakan satu lagi langkah strategik Bank Rakyat memperkukuh kedudukan sebagai peneraju institusi kewangan koperasi Islam di Malaysia yang sentiasa komited menyediakan produk dan perkhidmatan berinovasi, patuh syariah serta berteraskan kesejahteraan rakyat.
Menurut Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat, Khairudin Abdul Rahman, pelancaran Pembiayaan Mortgage Suite-i menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha Bank Rakyat memperkukuh kedudukan sebagai bank koperasi pilihan rakyat.
“Dengan margin pembiayaan sehingga 120 peratus dan kadar keuntungan yang kompetitif, kami yakin produk ini mampu menjadi pemangkin kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman sendiri dengan lebih mudah dan berpatutan.
"Menariknya, margin pembiayaan tinggi ini turut merangkumi kos tambahan seperti pengubahsuaian rumah, pembelian perabot serta pembiayaan pendidikan sekali gus memberi pelanggan ruang untuk mengurus keperluan kewangan mereka secara menyeluruh dan terancang," katanya.
Tambah beliau, produk tersebut bukan sahaja membantu pelanggan memiliki rumah idaman tetapi turut menyokong perancangan kewangan jangka panjang mereka.
Lebih menarik, pelancaran Pembiayaan Mortgage Suite-i diadakan serentak dengan Mini Karnival Rumah Impian yang berlangsung pada Khamis dan Jumaat di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.
Karnival tersebut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran hartanah, peralatan rumah pintar, reka bentuk dalaman dan perabot serta penyediaan trak makanan untuk pengunjung.
Antara pemaju dan rakan strategik yang turut serta termasuk Sime Darby Property, S P Setia, UDA Land Berhad, MK Land Holdings, Flora Hijauan (MRR2) Sdn Bhd, Valoobuy, MOVON serta pameran kereta dan motosikal daripada Nazamax yang menampilkan jenama Dongfeng, Harley Davidson dan NeoFK selain beberapa pengendali takaful.
Pelanggan jugaberpeluang memohon pembiayaan peribadi melalui InstaCash atau Kad Kredit-i.
Karnival turut menjadi platform kepada orang ramai mendapatkan khidmat nasihat kewangan, tawaran eksklusif dan maklumat lanjut mengenai produk serta perkhidmatan terkini Bank Rakyat.