Lori bawa kerikil lebih muatan jadi punca nahas ragut 9 nyawa anggota FRU

Iklan
Punca utama nahas yang meragut sembilan nyawa anggota FRU di Teluk Intan, Perak Mei lalu disebabkan lori 'tipper' yang membawa batu kerikil melebihi 70 peratus atau 40,960kg daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan.

PUTRAJAYA - Punca utama nahas yang meragut sembilan nyawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak Mei lalu adalah disebabkan lori 'tipper' yang membawa batu kerikil melebihi 70 peratus atau 40,960kg daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan.

Dapatan itu diperoleh hasil Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berhubung insiden berkenaan yang membabitkan lori muatan batu kerikil dan lori FRU di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan pada 13 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Laporan yang dimuatnaik menerusi laman sesawang Kementerian Pengangkutan (MOT) itu mendedahkan lebihan bebanan telah meningkatkan tenaga kinetik,

menjejaskan keupayaan membrek dan kestabilan serta menjadi faktor utama kehilangan kawalan.

Iklan

"Keadaan ini menyebabkan kehilangan kawalan kenderaan dan perlanggaran dengan lori FRU yang sedang berkonvoi pulang ke Ipoh," kata MOT dalam kenyataan pada Jumaat.

Laporan itu turut menyebut tiada kegagalan mekanikal dikesan pada sistem brek atau stereng lori tipper.

Iklan

"Kerosakan yang berlaku konsisten dengan impak akibat muatan berlebihan dan manuver kecemasan ketika pemandu cuba mengelak kenderaan di hadapan," menurutnya.

Mengulas aspek pemandu, pasukan petugas khas mendapati pemandu lori 'tipper' memiliki lesen Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Memandu Barangan (GDL) yang sah.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan didapati mempunyai 14 rekod kesalahan lalu lintas serta tidak pernah menghadiri latihan keselamatan formal.

Selain itu, syarikat pengendali lori 'tipper' turut gagal mematuhi keperluan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP).

Ia termasuklah kawalan dalaman terhadap muatan, jadual penyelenggaraan dan pemantauan pemandu dan keselamatan.

"Tiada pemantauan kelajuan lori tipper kerana Sistem Penentukedudukan Global (GPS) tidak berfungsi.

"Pemeriksaan fizikal dan tindakan penguatkuasaan yang bersifat reaktif tidak mencukupi untuk mencegah operasi berisiko," tegas Jawatankuasa berkenaan.

Menyentuh aspek keselamatan lori FRU, Jawatankuasa petugas khas mendapati ia tidak dilengkapi tali pinggang keledar, penyandar kepala atau sistem kekangan penumpang.

"Ruang belakang digunakan secara bercampur untuk membawa anggota dan barangan dengan konfigurasi kerusi sisi lipat, meningkatkan keterdedahan terhadap impak lateral semasa kemalangan," tambah pasukan itu.

Kemalangan berkenaan mendedahkan kelemahan sistemik dalam tadbir urus keselamatan kenderaan berat, termasuk aspek pematuhan, pemantauan dan penguatkuasaan.

Ia juga menunjukkan keperluan untuk menyemak semula spesifikasi dan ciri keselamatan kenderaan operasi milik Kerajaan (termasuk FRU, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi kerajaan yang berkaitan) bagi memastikan keselamatan anggota dan pengguna jalan raya awam.

Sehubungan itu, sebanyak 16 syor keselamatan telah dikemukakan merangkumi enam bidang utama, antaranya peningkatan pematuhan ICOP, keselamatan, penambahbaikan Akta 715, serta peningkatan ciri keselamatan kenderaan kerajaan seperti pemasangan tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk.

"Kementerian menegaskan bahawa siasatan keselamatan ini tidak bertujuan untuk menetapkan kesalahan atau menentukan liabiliti mana-mana pihak, sebaliknya untuk memperkukuh dasar keselamatan pengangkutan darat agar tragedi seumpama ini tidak berulang," ujar MOT.