SEREMBAN – Seramai 10 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Rembau mengharumkan nama negara apabila menyapu bersih empat kategori di 35th International Competition and Festival of Folklore, Dance and Music yang berlangsung di Paris, Perancis pada 28 Oktober lalu.
Malah, pasukan tarian yang dikenali sebagai Seri Baiduri itu turut merangkul kategori utama Crystal Grand Prix Dance Group Folklore (highest), menewaskan lebih 50 pasukan dari seluruh dunia.
Jurulatih pasukan, Mohd Ainuddin Mohd Ramlan, 34, berkata, kejayaan itu menjadi bukti bahawa anak-anak dari luar bandar juga mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“Pasukan kami yang terdiri daripada murid berusia 11 dan 12 tahun merangkul kategori utama daripada lebih 50 pasukan yang bertanding dari seluruh dunia.
"Kami turut mendapat tempat pertama kategori Solo Folklore (kanak-kanak) menerusi Ahmad Redza Yussaini Zamir dan tempat pertama Duo Folklore (kanak-kanak) yang dipersembahkan Muhammad Nur Ziqri Helmy Rizal serta Nur Imani Khairunnisa Ahmad Tajudin.
"Saya sendiri mendapat tempat pertama bagi kategori Solo Folklore (dewasa)," katanya dihubungi media pada Jumaat.
Menurut anak jati Seremban itu, antara tarian yang dipersembahkan dan berjaya menarik perhatian juri ialah joget kreatif, tarian Murut Sabah kreatif, tarian Balqis dan inang kreatif.
Ujarnya, beliau melatih anak muridnya sejak mereka berusia sembilan tahun dan menjadi impiannya untuk membawa anak dari kawasan luar bandar itu melihat dunia luar.
"Saya tengok mengenai maklumat pertandingan ini dalam talian dan kemudian buat permohonan untuk sertainya kerana sesiapa pun boleh sertainya.
“Untuk merealisasikan impian ini, kami kumpul dana sendiri melalui pelbagai cara termasuk melakukan persembahan dan sumbangan orang ramai," katanya.
Jelasnya difahamkan telah ada pasukan dari Malaysia yang menyertai pertandingan terbabit sebelum ini, namun dari Negeri Sembilan, ini yang pertama.
Guru Bahasa Inggeris itu turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan, pihak sekolah dan semua guru yang banyak membantu sepanjang persediaan pasukan tersebut.
"Sebenarnya banyak pihak yang membantu sama ada dari sokongan moral, bantuan kewangan dan tenaga kerja.
"Terima kasih saya ucapkan terutama kepada Guru Besar, Zulkarnain Abd Kadir dan guru terlibat Aimi Zahirah Zakaria, Aida sorfina Zulpakar, Mazlini Abu Bakar dan Nur Shazwani Nordin," katanya.