Panggilan haji tidak pernah silap waktu

Iklan
JEMPUTAN ke Tanah Suci bukan semata-mata hasil usaha manusia, tetapi datang terus daripada ALLAH SWT. -Foto: CANVA

MESKIPUN ramai menganggap panggilan haji hanya tiba ketika usia sudah senja dan kewangan kukuh, namun ada juga yang menerima surat tawaran pada usia muda.

Saat menerima surat daripada Lembaga Tabung Haji (TH), timbul perasaan bercampur-baur antara gembira, terkejut dan gusar terutama bagi yang masih membesarkan anak kecil atau belum bersedia sepenuhnya.

Iklan
Iklan

Namun, Penasihat In Saff Travel & Tours Cawangan Shah Alam, Selangor, Ahmad Najmi Sadali menjelaskan, mungkin itulah masa terbaik yang telah ALLAH aturkan untuk mereka.

AHMAD NAJMI

Iklan

“Kadangkala manusia mengira belum cukup wang dan sebagainya, sedangkan ALLAH sudah menyediakan segalanya dan pasti ada jalannya,” katanya ditemui Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Pembimbing ibadah haji dan umrah itu menjelaskan, jemputan ke Tanah Suci bukan semata-mata hasil usaha manusia, tetapi datang terus daripada ALLAH SWT sebagaimana firman-NYA: “Dan serulah manusia untuk menunaikan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki atau menung-gang setiap unta yang kurus, mereka datang daripada segenap penjuru yang jauh.” (Surah al-Hajj: 27)

Iklan

“Apabila ALLAH memerintahkan Nabi Ibrahim AS menyeru manusia menunaikan haji, walaupun Baginda yang menyeru, yang menjemput sebenarnya ialah DIA.

“Maka, apabila kita dipilih, itu bermakna ALLAH sendiri yang mengizinkan kita hadir sebagai tetamu-NYA,” katanya mengulas sikap segelintir bakal jemaah yang menolak tawaran dengan alasan remeh.

Dosa jika tolak tawaran

Menyambung hujah, Ahmad Najmi mengingatkan bahawa menolak tawaran haji tanpa sebab munasabah seperti masalah kesihatan, ketiadaan mahram atau hal keselamatan hukumnya berdosa.

APABILA semua syarat kemampuan atau istito’ah sudah mencukupi, maka seseorang itu wajib menunaikan haji. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

“Apatah lagi apabila undangan itu datang daripada ALLAH, Raja kepada segala raja,” ungkapnya.

Tegas beliau, apabila semua syarat kemampuan atau istito’ah sudah mencukupi, maka seseorang itu wajib menunaikan haji.

“Maksud istito’ah itu termasuklah kesihatan yang baik, kewangan yang cukup, perjalanan aman, (ada) mahram bagi wanita dan mendapat kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi iaitu kuota haji.

“Jika sengaja menangguh, dikhuatiri meninggal dunia dalam keadaan berdosa kerana meninggalkan Rukun Islam kelima kerana sudah memenuhi syarat-syarat istito’ah,” terangnya.

Ahmad Najmi kemudian berkongsikan kisah benar seorang jemaah yang menerima tawaran haji ketika tidak mempunyai sebarang persediaan kewangan.

“Saya kenal seorang yang hanya ada RM16 dalam akaun TH. Dia diberi tempoh dua minggu untuk menjawab surat tawaran.

“Dalam kebimbangan, dia solat istikharah dan memohon petunjuk. Tidak lama kemudian, datang rezeki daripada arah yang tidak disangka apabila dia boleh mengeluarkan wang simpanan persaraannya,” imbasnya.

LATIH diri berjalan kaki, menjaga pemakanan dan kesihatan kerana ibadah haji memerlukan banyak tenaga untuk bergerak antara tempat suci. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Persediaan awal

Kepada bakal jemaah yang sudah menerima tawaran haji atau belum, Ahmad Najmi menyarankan agar mereka membuat persediaan lebih awal baik dari segi ilmu, fizikal dan spiritual.

“Kemudian, hadir kursus haji asas walaupun giliran masih jauh. Sekarang TH merekod kehadiran menerusi aplikasi mereka,” katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan menjaga kesihatan kerana ibadah haji menuntut kekuatan fizikal dan mental.

“Latih diri berjalan kaki dan jaga pemakanan. Ibadah haji memerlukan banyak tenaga untuk bergerak antara tempat suci.

“Ingat, kita pergi ke sana bukan sekadar ‘meraikan’ panggilan haji seperti sekadar meraikan tuan rumah sahaja, tetapi ia perjalanan ibadah yang menuntut ilmu, amalan sunat dan lain-lain lagi,” jelas beliau.

BAGI bakal jemaah yang sudah menerima tawaran haji atau belum, buatlah persediaan lebih awal baik dari segi ilmu, fizikal dan spiritual. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Bagi mereka yang masih belum menerima jemputan, Ahmad Najmi menasihatkan agar terus bersangka baik kepada ALLAH.

“Mungkin ALLAH tangguhkan kerana DIA tahu masa terbaik belum tiba. Ia sebagaimana disebutkan dalam Surah al-Baqarah yang mana ALLAH berfirman ‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik untukmu’.

“Apabila ALLAH ‘panggil’, datanglah kerana tidak semua yang mampu itu dijemput dan tidak semua yang dijemput itu mampu,” titipnya.

ANEKDOT

Jejak langkah Nabi Muhammad SAW di bumi barakah

- Ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi ziarah hati untuk menjejaki bumi yang pernah dipijak Rasulullah SAW.

- Ramai yang menunaikan haji dan umrah tanpa mengetahui sejarah di sebalik tempat suci itu, sedangkan mengenali kisah perjuangan Nabi menjadikan ibadah lebih bermakna.

- Apabila tahu di mana Rasulullah SAW dibesarkan, berjuang dan berkorban, hati akan lebih ‘hidup’.

IBADAH haji bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi ziarah hati untuk menjejaki bumi yang pernah dipijak Rasulullah SAW. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

- Setiap langkah di Tanah Suci seperti Arafah, Mina dan Muzdalifah, semuanya merupakan lambang perjuangan menentang hawa nafsu sebagaimana Nabi Ibrahim AS dan Nabi Muhammad SAW menyerahkan seluruh diri mereka kepada ALLAH.

- Mengetahui sirah menjadikan ibadah haji lebih berjiwa, bukan sekadar ‘kerja haji’ yang dilakukan kerana giliran telah tiba. - Kadangkala air mata boleh menitis hanya kerana kita melangkah di bumi yang pernah dipijak Baginda SAW.

- Haji yang disulami dengan ilmu dan kesedaran sejarah akan melahirkan jiwa yang tunduk, sabar dan penuh cinta terhadap Rasulullah SAW.