GUA MUSANG – Seorang mandur maut selepas dipercayai dipijak kawanan gajah liar dalam kejadian tragis yang berlaku di kawasan pembalakan Felda Aring 8, malam Rabu lalu.
Kumpulan pekerja balak yang menghuni rumah kongsi di kawasan terbabit terlebih dahulu terhidu bau gajah yang kuat serta mendengar bunyi bising di luar sebelum sekawan haiwan itu menyerang mereka.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kejadian dipercayai berlaku dua kali dalam tempoh beberapa jam dan mengakibatkan kematian mangsa, Saidi Jahari, 43.
Menurutnya, sebelum kejadian, enam pekerja termasuk mangsa sedang tidur di rumah kongsi sebelum dikejutkan dengan kehadiran gajah kira-kira jam 10 malam.
“Mereka terhidu bau gajah yang kuat dan mendengar bunyi bising di luar khemah sebelum menyedari sekawan gajah liar menghampiri kawasan tersebut.
“Kesemua pekerja bertindak melarikan diri ke kawasan hutan untuk menyelamatkan diri, namun seorang lelaki tempatan tidak sempat berbuat demikian dan ditangkap oleh seekor gajah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beberapa jam kemudian, kumpulan pekerja yang melarikan diri kembali ke rumah kongsi dan mendapati mangsa masih hidup, namun mengalami kecederaan serius termasuk patah kedua-dua belah kaki.
“Mereka membawa mangsa masuk ke dalam rumah kongsi untuk mendapatkan perlindungan sementara.
“Namun tidak lama kemudian, seekor gajah dipercayai ketua kawanan kembali semula ke kawasan rumah kongsi dan menyerang mereka sekali lagi,” jelasnya.
Ketika serangan kedua itu, semua pekerja sekali lagi melarikan diri ke dalam hutan dan meninggalkan mangsa di lokasi kerana bimbang diserang semula.
“Selepas keadaan kembali tenang, kumpulan tersebut kembali ke rumah kongsi dan mendapati mangsa sudah tiada.
“Pencarian di kawasan berhampiran menemui Saidi dalam keadaan tidak bernyawa di jalan keluar dengan kesan kecederaan parah, dipercayai dipijak gajah,” ujar Choon Foo.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kini sedang menjalankan usaha mengesan serta mengawal pergerakan kawanan gajah tersebut di kawasan pembalakan berkenaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menghormati privasi keluarga mangsa,” katanya.