EAC perkukuh keunggulan pendidikan kejuruteraan negara

Iklan
Ahmad Sabirin (tiga dari kiri) merasmikan Sesi Libat Urus Bersama Panel Penilai 2025 yang diadakan di Putrajaya

PUTRAJAYA – Engineering Accreditation Council (EAC) di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) terus memperkasa keunggulan bidang kejuruteraan negara menerusi penganjuran Sesi Libat Urus Bersama Panel Penilai 2025 yang berlangsung di sini.

Majlis berprestij itu dirasmikan oleh Pengerusi EAC, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad dan menghimpunkan lebih 200 ahli panel penilai aktif dari seluruh negara yang terdiri daripada wakil akademia, industri serta badan profesional.

Iklan
Iklan

Program tahunan ini menjadi wadah strategik bagi memperkukuh kerjasama dan penyelarasan antara EAC dan panel penilai dalam memastikan proses akreditasi program kejuruteraan di Malaysia kekal menepati piawaian antarabangsa.

Menurut EAC, fokus utama sesi kali ini adalah memperkukuh standard akreditasi dan integrasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam kurikulum kejuruteraan, selain meningkatkan atribut graduan agar lebih berdaya saing dan beretika di peringkat global.

Iklan

Antara pengisian utama ialah pelancaran Buku Outcome-Based Education (OBE) yang mendokumentasikan kejayaan pelaksanaan OBE selama sedekad di Malaysia. Buku tersebut menyoroti transformasi pendidikan kejuruteraan daripada pendekatan berasaskan pematuhan kepada pendekatan berasaskan bukti dengan penekanan terhadap hasil pembelajaran dan kesiapsiagaan profesional.

Dalam ucapannya, Ahmad Sabirin menegaskan bahawa kekuatan sistem akreditasi negara berpunca daripada dedikasi bersama antara panel penilai dan institusi pengajian tinggi yang komited menegakkan kecemerlangan serta integriti pendidikan kejuruteraan.

Iklan

“Kekuatan sistem akreditasi kita terletak pada dedikasi bersama para penilai dan institusi dalam menegakkan kecemerlangan serta integriti pendidikan kejuruteraan,” katanya.

EAC kekal komited memperkukuh ekosistem pendidikan kejuruteraan menerusi jaminan kualiti yang mantap serta pematuhan terhadap piawaian antarabangsa yang diiktiraf, selaras dengan amalan terbaik global.

Setakat Oktober 2025, Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) merekodkan lebih 260,000 ahli berdaftar yang merangkumi Jurutera Siswazah, Jurutera Profesional, Teknologis Kejuruteraan dan Pemeriksa Kerja.

Angka ini membuktikan kekuatan serta pengaruh komuniti kejuruteraan yang terus berkembang di Malaysia.