HSIS Serdang rekod rawatan tertinggi, 76 pesakit kardiologi sehari

Iklan
Jabatan Kardiologi Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang mencatatkan rekod tertinggi apabila berjaya merawat 76 pesakit sehari.

KUALA LUMPUR - Jabatan Kardiologi Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang mencatatkan rekod tertinggi apabila berjaya merawat 76 pesakit sehari termasuk 48 prosedur pemasangan stent dalam tempoh 17 jam operasi intensif.

Ketua Jabatan Kardiologi HSIS, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata, HSIS lazimnya mengendalikan antara 50 hingga 70 kes kardiologi sehari dan jumlah 76 pesakit antara tertinggi pernah direkodkan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, HSIS mampu mengendalikan jumlah pesakit yang tinggi kerana hospital itu mempunyai tujuh mesin angiogram.

Prosedur angiogram ialah untuk mengesan jika terdapat sumbatan pada jantung.

Iklan

"Kami melakukan rekod jumlah PCIs (Percutaneous Coronary Intervention) di Hospital Serdang hari ini, berbanding 48 sehari 20 tahun lepas. Tiada pesakit meninggal dunia walaupun beberapa kes kecemasan serangan jantung (berlaku) termasuk seorang yang memerlukan CPR (resusitasi kardiopulmonari) sebelum pemasangan stent namun semua berjaya diselamatkan.

"Pasukan kami terdiri daripada hampir 100 doktor, jururawat, pembantu perubatan, juru-X-ray dan petugas sokongan yang bekerja keras dari jam 8 pagi Jumaat hingga 1 pagi Sabtu untuk mencapai kejayaan ini,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Iklan

Pada 2025, Jabatan Kardiologi HSIS melakukan 9,483 angiogram koronari dan mencatatkan rekod 6,486 PCI atau prosedur pemasangan stent.

Dr Asri berkata, daripada 76 pesakit itu, 26 merupakan kes kecemasan dirujuk dari tujuh hospital antaranya Hospital Kuala Lumpur, Hospital Kuala Pilah, Hospital Seremban dan Hospital Cyberjaya.

Beliau berkata, HSIS berperanan sebagai pusat jantung utama bagi anggaran 12 hingga 13 juta penduduk meliputi Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan serta kes kompleks dari negeri dan hospital lain.

Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat, HSIS merancang untuk menambah dua lagi mesin angiogram dalam tempoh setahun sekali gus meningkatkan kapasiti kepada sembilan mesin.

Beliau berkata, HSIS juga sedang memperkukuh sumber manusia dengan hampir 30 doktor pelatih kardiologi dan 15 pakar perunding ditempatkan di hospital itu ketika ini. - Bernama