Hujan Bulan Disember kisah ketabahan, sentuh emosi pembaca

Iklan
Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin (tiga dari kanan) bergambar bersama penulis Novel 'Hujan Bulan Disember', Idora Darwina (empat dari kanan) ketika mengunjungi program Kelah@Putrajaya di Taman Botani, Putrajaya.

PUTRAJAYA - Novel 'Hujan Bulan Disember' karya Idora Darwina kali ini mengangkat kisah mengenai kehilangan, ketabahan dan bakal menyentuh emosi pembaca terutama yang sedang berdepan dengan fasa duka dalam kehidupan.

Nama sebenarnya, Hasnidarwina Hasim, 38, berkata, buku tersebut memfokuskan kepada perjalanan emosi setiap insan dalam menghadapi perpisahan dengan orang yang paling disayangi dalam kehidupan mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, novel ini banyak mengajar seseorang untuk bangkit semula selepas melalui peristiwa sedih dalam kehidupan.

“Intipati novel ini tentang melepaskan, bagaimana kita nak berhadapan dengan perpisahan yang paling menyedihkan dalam hidup.

Iklan

"Bulan Disember menampilkan bagaimana watak Seri nak redha apabila orang disayangi tinggalkan dia dan belajar untuk menerima perpisahan yang tidak disangka itu.

“Melalui kisah ini, pembaca akan sedar bahawa perpisahan adalah perkara normal yang akan berlaku kepada semua orang, walaupun cara dan waktunya berbeza,” katanya ketika ditemui di program Kelah@Putrajaya di Taman Botani, di sini.

Iklan

Hasnidarwina Hasim

Tambah beliau, buku tersebut diharap dapat membantu pembaca yang sukar mengurus emosi akibat kehilangan sehingga ada yang cenderung mengalami kemurungan, keresahan dan tekanan perasaan.

Jelasnya, ia sesuai dibaca oleh semua peringkat umur termasuk kanak-kanak, remaja, dewasa serta golongan berusia kerana mesejnya bersifat universal dan dekat dengan realiti kehidupan.

“Insya-ALLAH sesiapa yang membaca buku ini boleh rasa lega kerana mereka akan faham bahawa kita boleh bersedih, berduka, tetapi kita juga perlu bangkit semula.

“Orang yang telah pergi memang tidak akan kembali, tetapi masih ada insan lain di sekeliling kita seperti suami, isteri dan anak-anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang kita.

“Oleh itu, kita perlu belajar untuk berdamai dengan perpisahan kerana hidup ini perlu diteruskan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, buku tersebut merupakan ‘goodbye letter’ buat kedua-dua ibu bapanya yang meninggal dunia.

"Ibu saya meninggal dunia pada 2019 manakala bapa pada Mei 2021. Ketika itu saya sangat sedih dan kemudian bangkit semula.

"Dari situ lah saya terfikir untuk menulis novel, penulisan buku ini mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan," ulasnya.

Beliau turut berkongsi maklum balas yang diterima daripada pembaca adalah di luar jangkaan apabila ramai menyatakan Hujan Bulan Disember mempersembahkan cerita yang berbeza berdasarkan gaya bahasa yang digunakan.

"Walaupun terdapat tanggapan bahawa karya sastera bersifat membosankan, penggunaan laras bahasa sastera dalam buku ini menerima respon yang positif apabila rata-rata pembaca memuji keindahan bahasanya yang sangat puitis dan menyentuh jiwa," katanya.