Risiko perang etnik semakin membara di Sudan

Iklan
Pelarian berehat di Tawila, wilayah Darfur barat yang dilanda perang, selepas melarikan diri dari El-Fasher yang telah ditawan oleh RSF. AFP

DARFUR - Krisis berdarah Sudan terus memuncak apabila kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) berjaya menawan bandar El-Fasher daripada tentera kerajaan pada Ahad lalu, sekali gus menguasai sepenuhnya wilayah Darfur di barat negara itu.

Perkembangan itu menandakan perubahan besar dalam perang yang sudah berlarutan lebih dua tahun bermula sebagai perebutan kuasa antara tentera biasa dan kumpulan RSF, namun kini berkembang menjadi perebutan wilayah yang sengit, dengan pertempuran utama tertumpu di kawasan Kordofan.

Iklan
Iklan

Tentera Sudan kini mengekalkan kawalan di utara, timur dan tengah negara, termasuk ibu kota Khartoum dan pelabuhan strategik Sudan di Laut Merah yang kini menjadi pusat kerajaan sementara.

Sebaliknya, RSF menguasai sebahagian besar wilayah selatan dan seluruh Darfur di barat, dengan pusat pentadbiran baharu mereka beroperasi dari bandar Nyala.

Iklan

Penduduk El-Fasher yang melarikan diri selepas bandar itu jatuh ke tangan Pasukan RSF tiba di bandar Tawila, di wilayah Darfur barat yang dilanda perang. AFP

Penganalisis geopolitik memberi amaran bahawa jika garisan pertempuran semasa kekal, Sudan berisiko berpecah dua, kali kedua selepas pemisahan Sudan Selatan pada 2011.

Iklan

Mereka turut bimbang Darfur bakal menyaksikan satu lagi siri pembunuhan beramai-ramai seperti pada awal 2000-an, ketika kumpulan bersenjata Janjaweed pendahulu kepada RSF yang dituduh melakukan kekejaman etnik terhadap penduduk bukan Arab.

Selepas pengepungan selama 18 bulan, RSF menawan El-Fasher dan dilaporkan melakukan kekejaman besar-besaran terhadap orang awam. Rakaman video, imej satelit dan laporan saksi menunjukkan pelanggaran hak asasi manusia yang meluas.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, memberi amaran tentang 'pelanggaran dan kekejaman bermotifkan etnik' selepas kejatuhan El-Fasher.

Kumpulan hak asasi manusia turut mengingatkan bahawa komuniti Zaghawa di bandar itu mungkin menjadi sasaran, sama seperti tragedi yang menimpa etnik Masalit di El-Geneina pada 2023, di mana lebih 15,000 orang dilaporkan terbunuh.

Di selatan El-Fasher, kem pelarian Zamzam yang menempatkan hampir 400,000 orang dilaporkan telah dikosongkan dan kini digunakan sebagai pangkalan tentera upahan asing.

Sementara itu, kem Abu Shouk di utara yang pernah menampung 200,000 penduduk kini hampir musnah dengan 90 peratus penduduknya melarikan diri.

Dalam masa sama, tentera Sudan melancarkan kempen pengeboman terhadap bandar-bandar di Darfur yang dikuasai RSF, termasuk menyerang lapangan terbang di Nyala yang disyaki menjadi laluan senjata dan tentera upahan dari Emiriah Arab Bersatu dakwaan yang dinafikan oleh Abu Dhabi.

Di wilayah Kordofan, pertempuran turut meningkat. RSF menawan bandar Bara di Kordofan Utara yang terletak di laluan strategik menghubungkan Darfur dan Khartoum, serta mengepung ibu wilayah El-Obeid.

Di Kordofan Selatan pula, pasukan RSF dan sekutunya daripada gerakan SPLM-N pimpinan Abdelaziz al-Hilu mengepung bandar Kadugli dan Dilling, memerangkap lebih setengah juta penduduk. Pertubuhan bantuan melaporkan kenaikan harga makanan yang mendadak serta kadar kebuluran yang membimbangkan.

Sementara itu, ibu kota Khartoum yang berjaya direbut semula oleh tentera pada Mac lalu kini dalam proses pemulihan selepas dikuasai RSF selama berbulan-bulan. Namun, serangan dron RSF masih berterusan, termasuk ke atas kemudahan tentera, loji minyak dan stesen janakuasa.

Port Sudan pusat kerajaan tentera turut diserang dron buat pertama kali pada Mei lalu, diikuti siri serangan di utara dan timur negara termasuk Atbara dan Kassala.

Pertempuran sengit ini telah meragut puluhan ribu nyawa dan menyebabkan hampir 12 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, menjadikan krisis Sudan antara yang terburuk di dunia menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).-AFP