KEBELAKANGAN ini, masyarakat dikejutkan dengan banyak kes pembunuhan yang berlaku atas pelbagai alasan, daripada pergaduhan kecil, isu cemburu, hingga tekanan hidup.
Misalnya, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tumpat, Kelantan pada Khamis atas pertuduhan membunuh sepupu isterinya hingga maut dengan kaki kanan serta tangan kiri terputus akibat ditetak.
Siasatan awal polis mendapati punca kejadian berpunca daripada dendam lama berkaitan isu tanah pusaka, selain berang kerana video anak disunting dalam keadaan tidak senonoh dan ditularkan.
Kes kedua pula melibatkan penganggur dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen, Melaka selepas mengaku bersalah menikam seorang remaja perempuan yang juga saudaranya gara-gara berang cintanya ditolak.
Fenomena ini bukan sahaja menggambarkan masalah jenayah, tetapi turut memperlihatkan krisis nilai moral dan kemanusiaan yang semakin parah dalam kalangan masyarakat hari ini.
Apabila nilai moral kian merosot, manusia mula hilang empati terhadap penderitaan orang lain dan gagal menilai batas kemanusiaan.
Lebih membimbangkan, kejadian pembunuhan kini tidak lagi berpunca daripada jenayah terancang, sebaliknya bermula daripada perselisihan kecil.
Apabila keluarga gagal menjadi tempat berlindung emosi dan moral, individu sukar dikawal dan akhirnya menjurus kepada tindakan di luar kewarasan.
Apatah lagi sistem pendidikan kini lebih menitikberatkan pencapaian akademik berbanding pembinaan sahsiah dan akhlak.
Akibatnya, ramai yang cemerlang dari segi intelek tetapi rapuh dari segi emosi dan rohani, menjadikan mereka mudah terpengaruh dengan tekanan serta hilang empati terhadap sesama manusia.
Ia juga memperlihatkan bagaimana masyarakat hari ini semakin terdedah kepada pengaruh luar, sama ada melalui media sosial, filem mahupun permainan video yang memaparkan keganasan secara terbuka.
Jika tiada usaha serius dilakukan untuk memperkukuh pendidikan moral, penghayatan agama dan kawalan terhadap budaya ganas dalam media, tidak mustahil kes seumpama ini akan terus menghantui masyarakat.