SHAH ALAM – Bank Dunia mencadangkan supaya Malaysia menaikkan had usia pengeluaran penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada sekurang-kurangnya 65 tahun bagi menyesuaikan dasar persaraan dengan peningkatan jangka hayat sihat rakyat negara ini.
Cadangan itu terkandung dalam laporan baharu bertajuk “Should Malaysia Expand Its Social Pension? Global Evidence, Design Issues and Options” yang diterbitkan pada Oktober 2025.
Menurut laporan itu, Malaysia sedang menuju ke arah menjadi masyarakat menua apabila 14 peratus penduduk dijangka berumur 65 tahun ke atas menjelang 2045, dan jumlah itu meningkat kepada 20 peratus menjelang 2056.
Namun, Bank Dunia menegaskan akses kepada simpanan persaraan pada usia 55 tahun dianggap terlalu rendah berbanding struktur demografi Malaysia, sekali gus meningkatkan risiko kehabisan simpanan lebih awal dalam tempoh persaraan.
Kajian mendapati baki purata ahli KWSP pada usia pengeluaran masih rendah dan biasanya habis digunakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas dikeluarkan, manakala hanya sekitar 42 peratus tenaga kerja mencarum secara aktif dalam skim pencen formal.
Dalam masa sama, liputan Bantuan Warga Emas (BWE) masih sangat rendah apabila hanya sekitar empat peratus warga emas menerimanya antara kadar terendah di dunia.
Sementara itu, sekitar 60 peratus warga emas menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), tetapi gabungan faedah BWE dan STR hanya menyumbang kurang daripada 10 peratus pendapatan pra-pemindahan bagi kebanyakan isi rumah warga emas.
Situasi ini menunjukkan wujud jurang besar dalam perlindungan sosial warga emas di mana ramai masih bergantung kepada sokongan keluarga. Namun, saiz keluarga yang semakin kecil dan perubahan norma sosial mengurangkan daya sokongan tradisional ini, dengan semakin ramai warga tua kini tinggal bersendirian.
“Pada tahun 2022, KWSP menganggarkan hanya 18 peratus ahli lelaki dan 12 peratus ahli wanita mencapai had simpanan asas sebanyak RM240,000 menjelang umur 55 tahun.
“Memandangkan perlindungan KWSP semasa dan median pengumpulan dana persaraan yang rendah, pencen sosial yang diperluas harus dipertimbangkan untuk melindungi warga emas yang tinggal dalam isi rumah B40,” katanya.
Bagi menutup jurang tersebut, Bank Dunia mencadangkan supaya liputan pencen sosial diperluas secara berperingkat bermula dengan isi rumah kumpulan B40, diikuti semakan semula ambang kelayakan pendapatan agar lebih ramai layak menerima manfaat.
Laporan itu juga mencadangkan agar kadar bantuan pencen sosial diindeks secara automatik mengikut inflasi supaya nilainya tidak susut, selain menambah baik sistem penyasaran bantuan dengan mengoptimumkan pangkalan data kerajaan seperti PADU.
Bank Dunia turut menekankan bahawa peluasan perlindungan sosial perlu disertai dengan reformasi hasil dan pengurusan subsidi tersasar bagi memastikan pelaksanaan dasar ini kekal mampan dari segi fiskal.
Pada masa sama, ia mencadangkan penetapan umur 65 tahun bukan sahaja bagi pengeluaran KWSP malah sebagai umur kelayakan baharu untuk bantuan pencen sosial, bersesuaian dengan peningkatan jangka hayat dan kemampuan kerja warga tua.
“Dengan reka bentuk bersasar dan reformasi hasil yang sesuai, peluasan pencen sosial dapat dilaksanakan secara berhemah tanpa membebankan kewangan negara,” menurut laporan itu.
Bank Dunia merumuskan bahawa reformasi menyeluruh terhadap sistem pencen sosial mampu mengurangkan ketidaksamaan, meningkatkan kesejahteraan warga emas, serta membantu Malaysia mencapai penuaan inklusif dan produktif menjelang dekad akan datang.