Keluarga murid maut dalam van sekolah fail saman, tuntut ganti rugi lebih RM2 juta

Iklan
Kian Nam (kiri) bersama Jia Meng ketika sidang akhbar di perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Keluarga kanak-kanak lelaki yang ditemukan maut dalam sebuah van sekolah di Taman Bukit Indah, April lalu memfailkan saman terhadap lima pihak termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) atas dakwaan cuai selain menuntut ganti rugi berjumlah RM2.089 juta.

Peguam keluarga mangsa, Ng Kian Nam berkata, selain KPM, bapa mangsa Teo Jia Meng, 47 dan isteri Yu Yue Yang memfailkan saman terhadap empat defendan melibatkan satu tadika, dua entiti perniagaan dan seorang pemandu van sekolah.

Iklan
Iklan

Tegasnya, kesemua saman tersebut difailkan kerana kecuaian pihak defendan sehingga menyebabkan mangsa, Teo Yu Ze, 5, meninggal dunia dalam van sekolah di hadapan sebuah tadika.

"Antaranya kecuaian defendan pertama, kedua dan ketiga adalah gagal melaksanakan protokol keselamatan paling asas dan sistematik bagi memastikan dan menjaga keselamatan mangsa yang dipertanggungjawabkan kepada jagaan mereka oleh pihak plaintif.

Iklan

"Defendan pertama dan kedua juga agal untuk memeriksa dan memastikan bahawa mangsa yang dihantar oleh pemandu van sekolah tersebut telah tiba dengan selamatnya di tadika tersebut.

"Kesemua saman itu difailkan kerana mahu menuntut keadilan terhadap kematian Yu Ze," katanya pada sidang akhbar di perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Khamis.

Iklan

Mangsa, Yu Ze meninggal dunia antara jam 8 pagi hingga 12.05 tengah hari, dipercayai akibat ditinggalkan di dalam van di hadapan sebuah tadika di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri sekitar 30 April lalu.

Namun pemandunya, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Batu Pahat, 7 Mei lalu atas pertuduhan meninggalkan mangsa sehingga menyebabkan kematian.

Tambah Kian Nam, defendan terbabit juga gagal memaklumkan kepada plaintif-plaintif status kesihatan mangsa selepas mendapatinya ditinggalkan dan dikunci dalam van berkenaan hingga tidak sedarkan diri.

Katanya, defendan keempat pula gagal memeriksa keadaan van sekolah selepas menurunkan semua murid lain kecuali mangsa di tadika tersebut walaupun kenderaan itu bersaiz kecil.

"Defendan tersebut juga gagal melaporkan dan berkoordinasi dengan pihak tadika tersebut untuk mengetahui jumlah murid yang dibawa melalui van sekolah itu ke tadika tersebut," katanya.

Sementara itu Kian Nam berkata, saman terhadap defendan kelima iaitu KPM dibuat kerana didapati gagal mengambil tindakan serta-merta dan tegas terhadap defendan pertama dan kedua setelah kematian mangsa.

Jelasnya, ia termasuk dari segi siasatan, penggantungan lesen operasi, pendakwaan jenayah dan lain-lain demi meniaga kepentingan dan keselamatan murid-murid lain di tadika berkenaan.

"Tuntutan plaintif-plaintif itu dibuat setelah kehilangan satu-satunya anak mereka iaitu mangsa yang telah melalui trauma dan penderitaan amat kejam ditinggalkan dalam van sekolah tersebut.

"Maka plaintif-plaintif menuntut ganti rugi khas RM59,301 dan ganti rugi am RM2,030,000 yang kesemuanya berjumlah RM2,089,000," katanya.