Impian 12 tahun tercapai, penoreh getah Orang Asli dapat rumah Baitul Rahmah

Iklan
Shahadan (kiri) bersama isteri dan dua anak gembira dapat memiliki kediaman sendiri yang dibina menerusi program Baitul Rahmah.

KUALA PILAH – Hati bapa mana yang tidak teringin menyediakan mahligai sendiri untuk didiami bersama isteri dan anak-anak, namun keterbatasan serta kekangan kewangan menyebabkan hasrat itu terpaksa dipendam penoreh getah Orang Asli, Shahadan Husen, 33.

Berkat kesabaran, impian bapa dua anak itu akhirnya tercapai apabila permohonan bantuan rumah yang dikemukakan menerusi Program Baitul Rahmah di bawah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) diluluskan.

Iklan
Iklan

"Saya pernah mohon bantuan rumah melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) namun tidak berjaya dan pada masa sama turut mencuba Program Baitul Rahmah.

“Saya mohon rumah Baitul Rahmah dua tahun lepas, tapi masa itu belum lulus. Bila mohon kali kedua baru diluluskan. Syukur sangat sebab ini rezeki kami sekeluarga,” katanya yang merupakan Orang Asli dari Kampung Orang Asli Langkap, Tanjong Ipoh di sini.

Iklan

Terdahulu pada 22 Oktober lalu, MAINS melalui Program Baitul Rahmah membuat penyerahan simbolik kunci rumah kepada Shahadan.

Program tersebut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan JAKOA bagi menyantuni golongan memerlukan, khususnya komuniti Orang Asli dan mualaf di Negeri Sembilan.

Iklan

Majlis penyerahan kunci disempurnakan oleh Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah yang turut merasmikan acara berkenaan.

Shahadan berkata, sebelum memiliki rumah sendiri dia bersama isteri dan dua anak menumpang di rumah mentua bersama adik-beradik ipar lain sejak 2013.

“Kami empat beranak tinggal bersama mentua dan ipar. Mereka lima orang, jadi rumah agak sesak.

"Kami okey saja tak ada sebarang masalah pun cuma bila anak semakin besar, memang terasa perlunya rumah sendiri,” katanya.

Ujarnya, keluarga mentuanya bukan beragama Islam, namun mereka sangat menghormati sensitiviti agama terutama dalam hal makanan dan amalan harian.

“Kami makan sama-sama seperti biasa. Mereka pun jaga bab makanan, tak bawa makanan tidak halal ke rumah.

"Kalau nak makan makanan yang tidak halal, mereka akan pergi ke rumah anak mereka yang lain dan tidak memasak di rumah,” katanya.

Tambahnya, hatinya sedikit lega kerana selepas ini keluarga mentua tidak perlu lagi berbuat demikian dan lebih bebas tanpa terbatas disebabkan sensitiviti agama.

Shahadan juga amat berterima kasih kepada pembayar zakat kerana rumahnya terbina hasil sumbangan dana zakat yang diuruskan oleh MAINS.

“Tanpa duit zakat, tak mungkin kami dapat realisasikan hasrat memiliki rumah sendiri. Terima kasih kepada MAINS, JHEAINS serta penggerak masyarakat yang banyak membantu urusan kami.

"Rumah baharu yang memiliki tiga bilik dan satu bilik air ini dibina di atas tanah milik isteri saya, Noriah Abdullah, 45 dan baharu seminggu kami menerima kunci rumah," katanya.