KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah mengadakan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi berkaitan isu penipuan dalam talian baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, selain isu 'recycle number' pihaknya turut membincangkan berkaitan pendaftaran nombor telefon.
"Saya difahamkan ada pengguna mempunyai lebih daripada lima kad sim nombor telefon. Selain itu, ada sindiket menghubungi mangsa melalui aplikasi pemesejan.
"Sindiket penipuan menggunakan pelbagai cara untuk memperdayakan mangsa selari dengan perkembangan teknologi," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK Menara KPJ di sini pada Khamis.
Rusdi berkata, JSJK kerap mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan pihak berkaitan berkenaan tindakan selangkah ke hadapan untuk menangani sindiket penipuan dalam talian.
"Kita berusaha membanteras jenayah siber dengan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat telekomunikasi, bank serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," ujarnya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa mengenakan hukuman berat terhadap syarikat telekomunikasi (telco) yang gagal mengawal serta mencegah kegiatan penipuan sama ada melalui panggilan telefon atau mesej yang kini dianggap sebagai ‘wabak senyap’ dalam masyarakat.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan radikal seumpamanya perlu bagi memastikan syarikat berkaitan lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil mudah soal pendaftaran nombor yang sering disalah guna oleh sindiket penipuan (scammer).
Menurut beliau, kegagalan telco memantau penggunaan nombor telefon dengan baik telah membuka ruang kepada scammer untuk beroperasi bebas, termasuk menggunakan nombor luar negara tanpa pengesahan sah.