KHARTOUM - Dunia dikejutkan dengan laporan pembunuhan besar-besaran di bandar El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara, selepas kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) menawan sepenuhnya bandar itu daripada tentera kerajaan Sudan (SAF).
Ribuan orang awam dilaporkan terbunuh, manakala puluhan ribu lagi terpaksa melarikan diri selepas 18 bulan dikepung tanpa makanan, ubat-ubatan atau laluan keluar.
El-Fasher yang menjadi benteng terakhir tentera Sudan di wilayah Darfur jatuh ke tangan RSF pada Ahad lalu, sekali gus menandakan penguasaan penuh kumpulan itu di barat Sudan.
Sepanjang tempoh kepungan, RSF membina halangan sepanjang 56 kilometer yang menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan dan memutuskan bekalan penting kepada lebih 1.2 juta penduduk.
Laporan perubatan tempatan menyebut ramai penduduk terpaksa memakan makanan haiwan untuk kelangsungan hidup.
Menurut Rangkaian Doktor Sudan, sekurang-kurangnya 1,500 hingga 2,000 orang terbunuh sejak bandar itu dikuasai RSF. Rakaman video yang disahkan oleh unit verifikasi Sanad di bawah Al Jazeera menunjukkan anggota RSF menembak mati dan menyiksa penduduk awam, satu pola kekejaman yang sering dikaitkan dengan kumpulan tersebut.
Makmal Penyelidikan Kemanusiaan Yale turut mengesahkan berlakunya pembunuhan besar-besaran berdasarkan analisis imejan satelit yang menunjukkan kelompok objek menyerupai tubuh manusia dan kesan darah di kawasan pertempuran.
Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, terdapat bukti pembunuhan berasaskan etnik, dengan mangsa kebanyakannya daripada suku bukan Arab, termasuk wanita dan kanak-kanak yang ditembak ketika cuba melarikan diri.
Lebih 26,000 penduduk dilaporkan melarikan diri ke Tawila, kira-kira 70 kilometer dari El-Fasher, dalam tempoh dua hari sahaja. Lebih 170,000 lagi masih terperangkap di dalam bandar, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).
Keganasan turut merebak ke bandar Bara di negeri jiran Kordofan Utara yang kini turut dikuasai RSF. Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa mengesahkan lima sukarelawan mereka terbunuh di Bara dan tiga lagi masih hilang.
Di El-Fasher sendiri, hospital utama seperti Hospital Saudi menjadi lokasi pembunuhan beramai-ramai apabila hampir 500 orang termasuk pesakit, petugas perubatan dan penduduk yang berlindung di situ dibunuh.
Laporan juga menyebut berlakunya kejadian rogol, penahanan sewenang-wenangnya dan kehilangan beramai-ramai.
Penawanan El-Fasher menjadikan keseluruhan wilayah Darfur kini di bawah penguasaan RSF, sementara tentera kerajaan hanya bertahan di wilayah timur dan utara Sudan.
Kejatuhan ini menyebabkan negara itu terbahagi dua satu dikuasai kerajaan tentera pimpinan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, manakala satu lagi dikawal oleh RSF yang diketuai Mohammed Hamdan Dagalo atau Hemedti.
Pemerhati antarabangsa memberi amaran bahawa penguasaan penuh RSF di barat Sudan membuka ruang kepada penghapusan etnik berskala besar selain perebutan kekayaan emas di Darfur yang menjadi antara punca utama konflik.
Sejak perang saudara meletus pada April 2023, lebih 40,000 orang telah terbunuh dan lebih 12 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut data PBB.
Pelbagai rundingan damai yang diterajui Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Kesatuan Afrika setakat ini gagal membuahkan hasil.
Beberapa hari sebelum El-Fasher jatuh, wakil RSF dan SAF dilaporkan mengadakan rundingan tidak langsung di Washington, namun selepas pengambilalihan bandar itu, nasib rundingan kini tidak menentu.
Penganalisis memberi amaran bahawa tragedi di El-Fasher mungkin menjadi genosid kedua di Darfur, mengingatkan dunia bahawa Sudan sekali lagi tenggelam dalam kegelapan sejarahnya di mana kuasa, kaum dan kekayaan menjadi taruhan nyawa jutaan manusia yang kini menanti keadilan yang belum pasti. - Agensi