Tiada sekatan rantaian bekalan makanan, e-dagang

Iklan
Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA - Aktiviti pembekalan makanan dan e-dagang yang merangkumi pengeluaran bahan makanan, peruncitan, pembungkusan, pengedaran, pemborongan, pusat pengedaran serta pengeluar bahan mentah dibenarkan untuk terus beroperasi mengikut garis panduan ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan koronavirus (Covid-19).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang menyokong rantaian bekalan, pemasaran serta e-dagang bagi pembekalan bahan makanan serta keperluan juga dibenarkan untuk beroperasi.

Iklan
Iklan

"Syarikat-syarikat yang menyokong rantaian bekalan makanan dan ditakrifkan sebagai industri hiliran atau sokongan adalah dibenarkan untuk beroperasi dengan jumlah pekerja pada tahap minimum dan mematuhi langkah-langkah pengawalan Covid-19 seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kebenaran beroperasi ini selaras dengan takrif sektor yang kritikal (essential sector) seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perutusan beliau pada 21 Mac lalu. Ini merupakan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rangkaian pengedaran peruncitan tidak terjejas sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau mengingatkan pihak industri supaya melaksanakan langkah-langkah pencegahan Covid-19 semasa aktiviti urus niaga berjalan.

"Antara langkah-langkah yang perlu diambil ialah memastikan hanya pekerja bebas gejala dibenarkan memasuki premis pekerjaan, amalkan jarak sosial, pencucian tangan yang kerap dan amalan-amalan lain seperti garis panduan yang telah diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia serta pihak berkuasa lain.

Iklan

"Syarikat yang dibenarkan beroperasi turut diarahkan untuk beroperasi pada kadar paling minimum atau menutup perkhidmatan non-essential. Menjadi tanggungjawab setiap syarikat yang telah diberi kebenaran mematuhi arahan dan mengambil tindakan sewajarnya. Majikan juga perlu menyediakan surat pengesahan kepada setiap pekerja untuk rujukan dan ditunjukkan kepada anggota penguatkuasa apabila diminta," katanya.

Katanya lagi, rakyat dinasihatkan supaya tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian kerana ia dijamin mencukupi.

"Amat penting supaya rakyat Malaysia tidak melakukan pembelian panik atau berlebihan. Adalah wajar agar pengguna mengamalkan ciri-ciri pengguna bestari dan melaksanakan pembelian terancang," katanya.