Agro MADANI Satok tawar penjimatan 30 peratus

Iklan
Orang ramai tidak mahu melepaskan peluang membeli barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan pada Program Jualan Agro MADANI Mega @ Medan Niaga Satok 2026.

KUCHING – Program Jualan Agro MADANI Mega @ Medan Niaga Satok 2026 menawarkan penjimatan sehingga 30 peratus bagi pelbagai barangan agromakanan dan keperluan harian, sekali gus membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Program Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Medan Niaga Satok bermula 27 sehingga 29 November menghimpunkan 84 lot jualan melibatkan 81 usahawan tempatan dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Iklan
Iklan

FAMA memaklumkan, antara tarikan utama ialah Kombo MADANI mengandungi bihun, bawang merah dan bawang putih dijual RM10 berbanding RM15, manakala sebanyak 250 set lagi ditawarkan pada harga RM5 sempena sesi Happy Hour.

“Sebanyak 4,000 kilogram (kg) ayam segar dijual pada harga RM10 sekilogram berbanding harga asal RM17.50, manakala 800kg lagi ditawarkan pada harga RM5 sekilogram semasa Happy Hour.

Iklan

“Karnival turut mengetengahkan Jualan Agro Sarawakku Sayang (JASS) dengan sokongan Kerajaan Sarawak yang menawarkan penjimatan tambahan RM15,000 menerusi jualan beras import, daging puyuh serta pelbagai buah-buahan tempatan termasuk longan kristal, durian, rambutan, langsat, limau susu dan jagung,” katanya.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan produk Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT), Selera Negeri, Penang Kitchen serta Jualan Port Viral.

Iklan

FAMA turut merasmikan cawangan baharu KOPIESATU di Benteng, Medan Niaga Satok, menjadikan tiga cawangan jenama kopi itu beroperasi di Sarawak.

“Pelbagai aktiviti sampingan seperti pameran warisan, pertandingan makanan tradisional berasaskan sagu dan persembahan kebudayaan turut diadakan bagi memeriahkan karnival,” katanya.

Program itu menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung dengan nilai jualan RM600,000 memberikan nilai penjimatan kepada pengguna berjumlah RM50,000.

Sehingga Oktober lalu, FAMA Sarawak melaksanakan 222 Program Jualan Agro MADANI dengan nilai jualan RM1.74 juta melibatkan 491 usahawan.

Di peringkat nasional pula, sebanyak 3,456 program direkodkan setakat 15 November dengan nilai jualan RM80.76 juta, melibatkan 55,223 usahawan dan 4.7 juta pengunjung.