Isu KLSCAH: 'Kita tunggu SPRM siasat dulu' - Hannah Yeoh

Iklan
Amir Hamzah (kanan) bersama Hannah (dua dari kanan) ketika hadir pada Program Inisiatif Pengindahan Taman Sri Hartamas di sini pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan pihaknya sudah memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kontroversi lanjutan tempoh pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Menurutnya, semua butiran dan maklumat yang diminta SPRM sudah diserahkan, selain beliau turut memberikan penjelasan panjang lebar mengenai isu berkenaan di Dewan Rakyat.

Iklan
Iklan

"Saya juga telah jawab panjang lebar dalam Parlimen. Jadi SPRM boleh merujuk kepada semua butiran dan maklumat yang telah kita berikan.

"Seperti yang saya nyatakan, semua telah berjalan. Permohonan itu juga telah dilayan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada Pejabat Tanah dan Galian serta Jawatankuasa Tanah. Semua saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga telah saya maklumkan kepada Dewan Rakyat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Inisiatif Pengindahan Taman Sri Hartamas di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Iklan

SPRM sebelum ini merakam percakapan seorang pegawai kepada Hannah di ibu pejabatnya di Putrajaya selama kira-kira lima jam bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan.

Pada 14 November lalu, Hannah mengumumkan kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium nominal RM1,000, jauh lebih rendah berbanding anggaran awal hampir RM4.67 juta.

Dalam pada itu, Hannah meminta semua pihak tidak menyebarkan berita palsu berhubung isu berkenaan memandangkan penjelasan mengenainya sudah diberikan.

"Kita sedang pantau. Saya cuma minta jangan sebarkan berita palsu. Kita dah jawab panjang lebar. Kalau masih tak nak faham, bukan tak faham (tetapi) tak nak menerima jawapan, tak nak faham.

"Saya tak boleh buat apa-apa kalau mereka buat seperti itulah," katanya.