PUTRAJAYA - Penyahaktifan 211 syarikat daripada Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) tidak menjejaskan bekalan minyak masak peket bersubsidi kepada isi rumah tempatan berikutan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempunyai mekanisme pengagihan semula kuota kepada syarikat pembungkus lain yang berkeupayaan.
KPDN memaklumkan sekiranya terdapat syarikat pembungkus yang digantung, ditarik balik kuota atau menghentikan operasi, kuota yang tidak digunakan boleh dirasionalisasi dan diagihkan semula kepada syarikat lain yang berkeupayaan serta mematuhi syarat ditetapkan.
"KPDN sentiasa memastikan bekalan minyak masak peket bersubsidi mencukupi untuk kegunaan isi rumah tempatan melalui pengurusan kuota dan pemantauan rantaian bekalan secara berterusan.
"KPDN turut melaksanakan mekanisme pengezonan pengedaran bagi memastikan bekalan disalurkan ke kawasan yang memerlukan, di samping memantau pergerakan bekalan dan transaksi jualan melalui sistem eCOSS serta aplikasi Mobile eCOSS," menurut kementerian kepada Bernama.
Menurut KPDN, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan juga dipertingkatkan bagi membendung ketirisan serta memastikan minyak masak peket bersubsidi sampai kepada pengguna yang layak.
"Oleh itu, tindakan terhadap syarikat yang tidak mematuhi peraturan atau menghentikan operasi tidak semestinya menjejaskan jumlah bekalan dalam pasaran kerana KPDN mempunyai mekanisme penyelarasan dan pengagihan semula kuota bagi memastikan kesinambungan bekalan kepada rakyat," menurut kementerian.
Berdasarkan data rintis Mobile eCOSS, purata pembelian minyak masak peket bersubsidi dianggarkan sebanyak 18 juta peket atau bersamaan 18,000 tan metrik sebulan.
Bagaimanapun, angka itu hanya merangkumi pembelian pengguna yang direkodkan melalui aplikasi berkenaan dan tidak mengambil kira kawasan yang masih belum menggunakannya.
"Bagi angka keperluan sebenar penggunaan minyak masak, pengiraan tidak terhad kepada jumlah belian oleh pengguna sahaja. Data jualan keseluruhan melalui sistem eCOSS turut perlu diambil kira bagi gambaran yang lebih menyeluruh mengenai keperluan sebenar negara.
"Penilaian ini penting bagi memastikan penetapan kuota bulanan adalah bersesuaian dengan permintaan sebenar dan bekalan mencukupi untuk kegunaan isi rumah tempatan," menurut KPDN.
KPDN memaklumkan pada masa ini, jumlah kuota yang diperlukan telah ditetapkan kepada 50,000 tan sebulan dan kecukupan bekalan akan terus dipantau dan dinilai secara berkala berdasarkan data transaksi eCOSS.
"Berdasarkan rekod transaksi jualan minyak masak peket bersubsidi melalui sistem eCOSS bagi Oktober 2026, permintaan dinilai berdasarkan nilai jualan daripada peruncit kepada pengguna.
"Selangor mencatatkan jumlah jualan tertinggi, iaitu sebanyak 4.98 juta peket.
"Data transaksi eCOSS ini turut menjadi rujukan KPDN dalam menilai corak permintaan dan menyelaras pengagihan kuota bekalan mengikut keperluan setiap negeri," menurut KPDN.
Dalam memastikan bekalan turut sampai ke kawasan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak, KPDN menggunakan dashboard eCOSS berasaskan jumlah penduduk sebagai panduan untuk mengenal pasti kawasan yang mengalami kekurangan atau lebihan agihan.
Kementerian itu juga melaksanakan mekanisme pengezonan yang menetapkan kawasan pengedaran kepada syarikat pembungkus dan pemborong bagi memastikan peruncit di kawasan pedalaman menerima bekalan mencukupi.
Bagi kawasan pedalaman dan pulau terpilih yang berdepan kos logistik tinggi, KPDN memaklumkan Program Pengedaran Barang Perlu turut dilaksanakan bagi membantu menampung kos pengangkutan, sekali gus membolehkan minyak masak peket dijual pada harga kawalan RM2.50 sepeket.
Daripada aspek penguatkuasaan, KPDN memaklumkan pihaknya merekodkan 397 kes berkaitan pelbagai kesalahan dan penyalahgunaan komoditi minyak masak di seluruh negara menerusi Ops Tiris hingga 20 Nov lepas, dengan nilai rampasan keseluruhan RM1.56 juta.
Selain itu, sebanyak lapan kes direkodkan berkaitan pelanggaran larangan penjualan dan pembelian minyak masak kepada warga asing bagi tempoh 1 Mac hingga 31 Okt 2026, membabitkan nilai sitaan RM25,000.
"KPDN sentiasa memantau rapi pematuhan peniaga, pemborong, serta rantaian pengedaran bagi memastikan bekalan minyak masak peket bersubsidi tidak disalahgunakan atau diselewengkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," menurut KPDN.
Pada 12 November lepas, media melaporkan sebanyak 211 syarikat telah dinyahaktifkan daripada sistem eCOSS setakat 30 Okt, susulan ketidakpatuhan terhadap syarat pengedaran dan penjualan minyak masak peket bersubsidi.
Antaranya, kesalahan berkaitan larangan penjualan dan pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh bukan warganegara.- Bernama