Dulu Aish aktif, kini hanya mampu terlantar

Iklan
Muhammad Aish Irfan disahkan mengalami Acute Necrotising Encephalopathy of Childhood (ANEC).

SHAH ALAM – Tiada yang lebih menyayat hati bagi seorang ibu selain melihat anak kecil yang dahulu ceria, berlari dan memanggil namanya, kini hanya mampu terlantar tanpa daya.

Itulah realiti yang ditanggung oleh Siti Nur Shafiqa Suraini, 31, seorang suri rumah, apabila anak sulungnya, Muhammad Aish Irfan Mohammad Hakeem, 3, disahkan mengalami Acute Necrotising Encephalopathy of Childhood (ANEC) sejenis kerosakan otak teruk berpunca daripada jangkitan Influenza A.

Iklan
Iklan

Menurut Siti Nur Shafiqa, sebelum jatuh sakit, Muhammad Aish Irfan merupakan kanak-kanak yang aktif dan petah, sudah mampu menyebut huruf A hingga Z serta mengenal warna.

“Malam itu, sebelum tidur dia masih bermain dan minum susu seperti biasa. Tapi kira-kira jam 4.30 pagi, dia tiba-tiba menangis kuat, muntah dan suhu badannya naik mendadak hingga 39.8 darjah Celsius

Iklan

"Kami terus bawa ke Hospital Melaka sebab dia dah lemah dan tak respon bila saya panggil,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Nur Shafiqa memberitahu, setibanya di jabatan kecemasan, suhu Muhammad Aish Irfan mencecah 41 darjah Celsius dan bacaan oksigen merosot hingga doktor menempatkannya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

Iklan

“Hari pertama di PICU, oksigen masih tak stabil dan kaki dia tiba-tiba lemah. Selepas imbasan CT dan MRI, doktor sahkan otak Aish ada kerosakan akibat Influenza A.

"Hari kedua, dia ditidurkan dan doktor minta kami bersedia untuk sebarang kemungkinan,” jelasnya.

Tambah Siti Nur Shafiqa, anaknya bertarung nyawa di PICU selama sebulan sebelum keadaan stabil.

Katanya, namun kesan jangkitan itu meninggalkan impak besar apabila Muhammad Aish Irfan kini, hilang keupayaan mengawal tubuh, tidak boleh bercakap, perlu minum susu melalui tiub dan disahkan orang kurang upaya (OKU) fizikal.

“Pakar maklumkan gelombang otak masih perlahan. Sekarang Aish cuma boleh tunjuk reaksi sedih atau gembira.

"Setiap dua jam saya beri susu dan ubat ikut masa. Ayahnya pula yang dukung dan mandikan setiap hari,” ujarnya.

Muhammad Aish Irfan yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu kini menjalani rawatan susulan dengan lima pakar termasuk neurologi, pediatrik, kulit dan penyakit berjangkit, selain empat jenis terapi iaitu fisioterapi, terapi bahasa, cara kerja dan rehabilitasi.

“Terapi fisioterapi di luar mencecah RM150 untuk 20 minit untuk sekali terapi, ada juga terapi di hospital kerajaan cuma dapat dua atau tiga bulan sekali. kami ada dapat bantuan JKM RM500 untuk OKU terlantar, tetapi masih lagi tidak mencukupi untuk menampung kesemua kos rawatan dan pemulihan.

“Semoga Muhammad Aish Irfan kembali pulih dan dapat merasa semula nikmat berjalan, bercakap dan ketawa seperti dulu,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Siti Nur Shafiqa menerusi akaun TikTok 'IbuAish'.