Gagal elak van terbalik, suami isteri maut

Iklan
Keadaan van terbalik melintang jalan di lokasi kejadian.

SEREMBAN – Pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka gagal mengelak sebuah van terbalik yang hilang kawalan akibat tayar pecah di Kilometer 11.5 Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH) arah Seremban, pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu melibatkan empat kenderaan, iaitu sebuah motosikal dinaiki mangsa masing-masing berusia 65 dan 67 tahun, dua buah kereta serta sebuah van.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah van jenis Nissan Vanette yang dipandu di lorong kiri dari arah Port Dickson menghala ke Seremban hilang kawalan selepas tayar hadapan sebelah kiri pecah.

“Van berkenaan kemudian terbalik dan melintang di antara lorong kiri serta lorong kecemasan lebuh raya.

Iklan

“Tidak lama kemudian, sebuah motosikal jenis Honda ADV 350 yang melalui lorong kecemasan ternampak van terbabit dan cuba mengelak dengan mengubah haluan secara mengejut ke lorong kanan.

Keadaan motosikal dinaiki mangsa.

Iklan

“Namun, sebuah kereta jenis Toyota Wish yang datang dari arah sama di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal itu, menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak di atas jalan,” katanya menerusi kenyataan.

Pada masa sama, katanya, sebuah lagi kereta jenis Proton Perdana yang mengekori di lorong kanan turut gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang Toyota Wish tersebut.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Toyota Wish mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau bagi proses bedah siasat untuk menentukan punca kematian,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shahrizan Khairi di talian 019-8461792 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.