SHAH ALAM – Malaysia terus mengukuhkan keupayaan statistik kebangsaan dengan pelancaran buku Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC) 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
MSIC 2025 merupakan kerangka standard baharu bagi pengelasan jenis aktiviti ekonomi di Malaysia dan menyaksikan pertambahan ketara bilangan industri baharu dalam ekonomi negara.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, MSIC 2025 kini mengandungi 1,248 industri, meningkat 6.3 peratus berbanding 1,174 industri yang direkodkan menerusi MSIC 2008 versi terdahulu.
“Pertambahan itu mencerminkan perkembangan pesat aktiviti ekonomi berasaskan teknologi, inovasi dan kelestarian, seiring transformasi ekonomi digital negara.
“Struktur hierarki MSIC 2025 merangkumi 22 seksyen, 88 bahagian, 260 kumpulan, 467 kelas dan 1,248 industri pada kod lima digit,” katanya pada majlis pelancaran yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live DOSM.
Seksyen Pembuatan merekodkan bilangan kod industri tertinggi iaitu 262 (MSIC 2008: 259), diikuti Seksyen Perdagangan Borong dan Runcit; Pembaikan Kenderaan Bermotor dan Motosikal sebanyak 193 (MSIC 2008: 179), dan Seksyen Pertanian, Perhutanan dan Perikanan sebanyak 155 (MSIC 2008: 142).
MSIC 2025 merupakan piawaian klasifikasi aktiviti ekonomi edisi keenam negara sejak pertama kali diterbitkan pada 1957 dan dibangunkan selaras dengan International Standard Industrial Classification (ISIC) pindaan ke-5 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
MSIC 2025 turut memperincikan Seksyen J: Maklumat dan Komunikasi kepada dua seksyen baharu, iaitu Seksyen J: Aktiviti Penerbitan, Penyiaran dan Penghasilan serta Pengedaran Kandungan serta Seksyen K: Telekomunikasi, Pengaturcaraan Komputer, Perundingan dan Infrastruktur Pengkomputeran
Penstrukturan semula itu dibuat sejajar dengan perubahan pesat dalam landskap ekonomi digital yang menyaksikan perkembangan ketara dalam bidang teknologi maklumat, komunikasi, kandungan digital dan perkhidmatan berasaskan internet.
Selain itu, klasifikasi baharu turut diperkenalkan meliputi industri robotik, glamping, dron, tenaga boleh diperbaharui, perlombongan unsur nadir bumi (REE), pusat data, pertukaran aset digital (crypto-asset) dan perkhidmatan perantaraan.
Pada masa yang sama, industri yang semakin tidak signifikan turut dikaji semula sama ada melalui pengguguran atau penggabungan, bagi memastikan klasifikasi yang dibangunkan kekal relevan dan mencerminkan senario industri semasa.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, DOSM akan mula menggunakan MSIC 2025 dalam banci dan survei bermula tahun 2026, manakala statistik agregat berdasarkan standard baharu itu bakal dikeluarkan secara berperingkat mulai tahun 2027.
“Semua kementerian dan agensi kerajaan disarankan untuk cakna dan menyesuaikan proses kerja dengan perubahan klasifikasi baharu bagi memastikan kebolehbandingan statistik nasional kekal seragam,” ujarnya.
Buku MSIC 2025 diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris serta boleh dimuat turun melalui portal rasmi DOSM.
Untuk rekod, satu pencapaian besar buat Malaysia apabila kini berada di tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, sekali gus mengatasi 197 negara lain.
Malaysia juga bakal mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) 2025 bagi memperkukuh kerjasama statistik serantau.