SHAH ALAM - Kerangka undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) bagi Bahan Nadir Bumi atau Rare Earth Elements (REE) didakwa masih separuh masak, dengan rekod pelaksanaan dasar yang sering indah di atas kertas tetapi gagal di lapangan.
Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin berkata, situasi itu menimbulkan persoalan mengenai kemampuan kerajaan untuk memastikan pencemaran dan kemerosotan alam sekitar dapat dikawal dengan berkesan.
"Tiada jaminan kukuh bahawa aktiviti ini tidak akan bertindih dengan kawasan sensitif alam sekitar seperti kawasan tadahan air, sama ada diwartakan atau tidak, serta kawasan penempatan penduduk.
"KUASA menegaskan bahawa sebarang perjanjian strategik dan dasar baharu melibatkan REE mesti disertai dengan kerangka kawal selia menyeluruh termasuk penggubalan undang-undang khusus yang lebih ketat bagi mengawal aspek keselamatan, pencemaran dan hak komuniti," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, kerajaan juga perlu menubuhkan jawatankuasa khas yang melibatkan penyertaan aktif komuniti tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam proses mendapatkan input bermakna, membuat keputusan serta pemantauan, khususnya dalam menentukan lokasi yang sesuai untuk diluluskan dan bagaimana pemantauan dapat dijalankan.
"Selain itu, perlunya pelaksanaan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Impak Sosial (SIA) yang telus, bebas dan diwajibkan bagi semua projek REE.
"Ia juga melibatkan ketelusan dalam rantaian bekalan bagi memastikan REE dari Malaysia tidak menyumbang kepada konflik bersenjata atau industri ketenteraan global yang menyalahi etika kemanusiaan.
"Perlu ada jaminan bahawa projek ini tidak akan diluluskan di kawasan yang tidak sesuai, khususnya kawasan tadahan air (sama ada diwartakan atau tidak), kawasan penempatan penduduk, habitat sensitif serta kawasan alam sekitar sensitif Tahap 1 dan 2, termasuk yang kebanyakannya merupakan Hutan Simpanan Kekal," katanya lagi.
Menurut beliau, KUASA akan terus memantau perkembangan isu berkenaan dan mendesak agar eksplorasi REE di Malaysia dilaksanakan secara beretika, telus dan berlandaskan prinsip kelestarian sejati – bukan sekadar mengejar keuntungan jangka pendek yang menggadaikan masa depan alam sekitar dan rakyat.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bahawa Malaysia terbuka untuk perbincangan perdagangan mengenai REE, semikonduktor dan isu maritim, selain mengekalkan hubungan dengan negara-negara utama lain.