KUALA KANGSAR – Lima pelajar lelaki berusia 17 tahun yang ditahan selepas video tular menunjukkan mereka menghalang laluan ambulans di Lebuh Raya Utara-Selatan, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Rabu.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa menunggang motosikal dengan cara berbahaya kepada orang awam di Kilometer 249, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan.
Kesalahan tersebut dilakukan pada jam 3.15 petang, 19 Oktober lalu.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan.
Kesemua tertuduh kemudian mengaku bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Mirza Zulaikha Mohd. Fadzly, manakala semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM1,500 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan tarikh 5 Januari 2026 ditetapkan untuk hukuman sementara menunggu laporan akhlak.
Kesemua mereka bagaimana pun membayar wang jaminan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan lima pelajar itu diberkas di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang, antara pukul 3 petang hingga 9 malam pada Isnin oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak.
Penahanan dibuat susulan video tular memaparkan aksi sekumpulan remaja menunggang motosikal secara berbahaya sambil menghalang laluan ambulans di lebuh raya berkenaan.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika ambulans sedang dalam perjalanan untuk memberi bantuan kepada mangsa kemalangan di Kilometer 260 lebuh raya sama.