Lelaki maut kenderaan dihempap lori pembancuh simen

Iklan
Mangsa dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu dan pihak bomba mendapatkan bantuan dua kren untuk mengalihkan lori simen tersebut. Foto IPD Sibu

SIBU - Seorang lelaki maut apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya dihempap sebuah lori pembancuh simen yang dipercayai mengalami masalah brek dalam kemalangan di Jalan Deshon di sini tengah hari Selasa. 

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada kira-kira 1.08 tengah hari.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 46 tahun itu dalam perjalanan menuju ke pusat bandar sebelum pemandunya menyedari sistem brek kenderaan berkenaan gagal berfungsi.

"Dalam usaha mengelak melanggar kenderaan di hadapan, pemandu membelok ke arah pembahagi jalan, namun lori hilang kawalan sebelum terbalik dan menghempap sebuah Toyota Hilux di hadapannya.

Iklan

"Pemandu Toyota Hilux, lelaki tempatan berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca kemalangan sedang dikenal pasti.

Iklan

Sementara itu, Ketua Zon Sibu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Andy Alie berkata, mangsa Ting Teck Kee tersepit di tempat duduk pemandu dan pihaknya telah mendapatkan bantuan dua kren untuk mengalihkan lori simen tersebut. 

"Setelah lori berjaya dialihkan, anggota menjalankan kerja pemotongan bagi mengeluarkan mangsa.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan di lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. - Bernama