Kanak-kanak 3 tahun maut, kereta dipandu ibu bertembung kenderaan polis

Iklan
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan insiden membabitkan sebuah kereta dan kenderaan polis di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang pada Selasa.

IPOH - Seorang kanak-kanak perempuan maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan kenderaan polis di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang di sini pada Selasa.

Mangsa, Chong Zee Han, 3, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 4.32 petang.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu, ibu mangsa berusia 34 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Kelisa mengalami cedera di bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dua anggota yang berada dalam kereta Honda Civic milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) masing-masing mengalami cedera di kaki, patah di bahu kiri serta luka di kelopak mata.

Iklan

Tangkap layar rakaman video tular memaparkan insiden membabitkan sebuah kereta dan kenderaan polis di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang pada Selasa.

"Siasatan awal mendapati kereta peronda PDRM dipandu seorang anggota lelaki berusia 48 tahun bersama seorang lagi anggota lelaki berusia 42 tahun dalam perjalanan dari arah Lumut menghala ke Jelapang sebelum kemalangan berlaku.

Iklan

"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu Proton Kelisa yang datang dari arah bertentangan dipercayai secara tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan kereta peronda berkenaan sebelum berlaku perlanggaran," katanya ketika dihubungi pemberita.

Abang Zainal Abidin berkata, akibat perlanggaran itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di seluruh bahagian termasuk cermin hadapan yang pecah.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke HRPB Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan," katanya.

Beliau menambah, usaha mengesan rakaman papan pemuka dan saksi bebas juga sedang dijalankan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 22 saat memaparkan insiden tersebut dengan beberapa orang awam dilihat membantu mangsa di tepi jalan sementara menunggu bantuan tiba.