KUALA LANGAT - Seramai 165 peserta mengambil bahagian dalam acara Carey Heritage Ride 2025 yang julung kali diadakan, sekali gus menampilkan gabungan sukan berbasikal dan pelancongan hijau di kawasan operasi sawit milik SD Guthrie Berhad (Guthrie) di Pulau Carey.
Program yang berlangsung pada Ahad itu menyaksikan tiga kategori kayuhan iaitu 20 kilometer (km), 45 km dan 100 km dengan penyertaan para peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk peserta tertua berusia 82 tahun.
Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, acara itu bukan sekadar aktiviti riadah, malah bertujuan memperkenalkan keindahan dan keunikan Pulau Carey kepada orang ramai.
“Semuanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, ia berlangsung dalam keadaan cuaca baik.
“Ramai memberi maklum balas positif kerana penganjuran kali ini sangat teratur dengan pit stop, papan tanda dan tunjuk arah yang jelas,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Acara itu membuktikan komitmen Guthrie dalam memperkukuh hubungan antara komuniti, pekerja dan masyarakat setempat melalui aktiviti sukan dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Mohamad Helmy menjelaskan, pemilihan Pulau Carey sebagai lokasi bukan sahaja kerana ia kawasan ladang milik Guthrie, tetapi juga mempunyai pelbagai kemudahan termasuk kilang kelapa sawit, pusat penyelidikan, loji biodiesel dan Golden Hope Academy yang melatih bakal eksekutif serta tenaga kerja syarikat.
“Di sini juga terdapat komuniti Orang Asli Mah Meri yang kita ketengahkan bersama dalam penganjuran acara ini bagi memperkenalkan budaya mereka kepada pengunjung,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, kayuhan itu berlangsung meriah apabila peserta menelusuri jalan di celah ladang sawit dan kawasan kampung tradisional sambil menikmati pemandangan hijau Pulau Carey.
“Peserta teruja melihat keindahan pulau ini dan tidak menyangka Pulau Carey terletak hanya 40 hingga 45 minit dari Kuala Lumpur,” katanya.
Tambahnya, penganjuran Carey Heritage Ride seiring dengan Bulan Sukan Negara dan usaha Guthrie menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan warga kerjanya.
“Kami mahu warga kerja Guthrie aktif bersukan, sama ada berbasikal, berlari, bermain tenis atau bola tampar.
“Dua minggu lalu kami adakan Carey Run dan sambutannya sangat meng galakkan,” jelasnya.
Mohamad Helmy turut memaklumkan, pihaknya merancang untuk menjadikan program kayuhan itu lebih kerap dan bukan sekadar acara tahunan.
Bagaimanapun ujar beliau, kayuhan seterusnya mungkin dihadkan kepada jarak maksimum 70 atau 75 km dan dibuka kepada orang awam dengan bayaran minimum untuk yuran penyertaan serta makanan.
“Memandangkan minat terhadap sukan berbasikal semakin meningkat, tahun depan kita rancang adakan Carey Ride setiap dua bulan sekali.
“Acara berbasikal itu akan diadakan enam sesi dan kita sudah kenal pasti tarikh sesuai untuk penganjuran pertama akan berlangsung Februari depan,” tambahnya.
Nikmati pemandangan hijau Ahli Lembaga Pengarah Guthrie, Datuk Seri Sharifah Sofianny Syed Hussain pula teruja selepas berjaya menamatkan kayuhan Carey Heritage Ride 2025 sejauh 20 km.
Jelas Sharifah Sofianny, penyer taannya dalam program berbasikal itu merupakan satu pencapaian peribadi memandangkan beliau bukan seorang penunggang basikal tegar.
“Program seperti ini juga mengeratkan hubungan antara kami di bawah satu keluarga besar Guthrie,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran di Pulau Carey, Sharifah Sofianny berkata, lokasi itu wajar dipromosikan kepada umum kerana mempunyai nilai ekosistem dan warisan yang tinggi.
“Pulau Carey sebenarnya adalah khazanah negara dan ramai tahu keindahan serta kepelbagaian ekosistem di sini.
“Saya bangga Guthrie memiliki operasi di kawasan ini dan berperanan memper kenalkannya kepada masyarakat,” jelas beliau.
Peserta tertua 82 tahun
Peserta Luqman Hakim Yazid, 31, berkata, meskipun cuaca panas memberi cabaran, namun suasana keseluruhan kayuhan menyeronokkan dengan penganjuran tersusun dan kemudahan mencukupi.
Luqman Hakim yang berjaya menamatkan kayuhan sejauh 100 km berkata, penyertaannya kali ini lebih kepada aktiviti riadah dan bukan untuk bersaing.
Dia turut memuji penganjuran program yang disifatkannya teratur dan mesra peserta, terutama dari segi penanda arah serta penyediaan kemudahan di sepanjang laluan.
“Saya memang tidak buat latihan khas sebab ini cuma fun ride, jadi saya kayuh ikut rentak sendiri,” katanya.
Abdul Latiff Nazir, 82, pula muncul sebagai peserta tertua menyifatkan usia bukan penghalang untuk dia menyertai kayuhan sejauh 45 km itu.
Bekas anggota tentera itu berkata, dia bersyukur kerana berjaya menamatkan kayuhan dengan selamat sambil menikmati pemandangan hijau sekitar ladang sawit dan pesisir laut Pulau Carey.
“Kayuhan ini sekadar santai untuk kekalkan kesihatan kerana bila usia meningkat kita kena sentiasa bergerak supaya otot tak kaku dan badan sentiasa kuat,” jelasnya.
Abdul Latiff turut memuji inisiatif Guthrie yang kerap menganjurkan aktiviti berbasikal dan sukan lain kerana dapat mengeratkan hubungan selain menggalakkan gaya hidup sihat.
“Saya memang selalu sertai program anjuran Guthrie sebab dapat berkawan, bersenam dan kekal aktif, walaupun umur dah lanjut, saya masih sihat dan penyakit pun terkawal,” katanya.